add us on facebook http://www.facebook.com/pages/Redang-Island-Malaysia/221443514558520

Wednesday, December 31, 2008

Meniti Tahun Baru

Tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk umat manusia melangkah ke tahun baru 2009. Tahun 2008 bakal melabuhkan tirainya menjelang detik jam 12 tengah malam ini. Menyingkap kembali peristiwa-peristiwa yang telah berlaku membuatkan penulis merasakan bahawa masa berlalu begitu pantas. Ini membuatkan penulis teringat kata-kata nasihat dan peringatan daripada mantan pengetua Kolej 14, Encik Aris. Beliau berpesan "Selagi surah al-Asr masih terdapat dalam al-Quran, selagi itulah manusia akan berada dalam kerugian. Kecuali mereka-mereka yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan kesabaran."

Ini menyebabkan penulis berfikir sejenak, adakah masa yang dikurniakan oleh Allah SWT sepanjang tahun 2008 dimanfaat sepenuhnya oleh penulis dengan baik? Ada benar kata-kata nasihat oleh beliau berlandaskan firman Allah SWT dalam kitab suci al-Quran. Justeru, penulis menyeru diri penulis dan para pembaca sekalian untuk sama-sama kita bermuhasabah diri tentang kelemahan dalam aspek pengurusan masa supaya kedatangan tahun baru ini memberikan nafas baharu untuk berubah ke arah yang positif dalam memperbaiki dan meningkatkan disiplin dalam diri.

Selain itu timbul juga persoalan mengenai azam setiap kali munculnya tahun baru. Adakah azam yang dirangka pada awal tahun berjaya dilaksana dengan sepenuhnya atau masih relevan untuk dibawa ke tahun 2009 pula? Bagi penulis, apa yang penting adalah penetapan setiap matlamat perlu seiring dengan usaha yang berterusan ke arah mencapai cita-cita yang diimpikan tanpa melupakan iringan doa memohon kepada Ilahi agar setiap impian kita mendapat keredhaan Allah SWT. Jika matlamat atau cita-cita kita masih tidak kesampaian, mungkin itu adalah salah satu cara Allah SWT untuk menguji hambaNya dan kita perlulah redha menerimanya dengan hati yang terbuka. Mungkin ada hikmah tersembunyi disebaliknya.

Menyentuh isu semasa dunia global sebelum kita menjejak gerbang 2009, penulis mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman rejim Zionis yang sewenang-wenangnya membedil wilayah Semenanjung Gaza, Palestin hingga mengorbankan hampir 400 penduduk Palestin dan menyebabkan beribu-ribu yang lain cedera. Bagaimanapun, dunia hanya memerhatikan sahaja dan hanya mampu mengeluarkan kenyataan, amaran dan teguran sahaja, namun Zionis di bawah jagaan Amerika Syarikat bebas mengganas membunuh seperti dahagakan darah. Justeru, Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih berani lagi bagi memperjuangkan hak asasi manusia khususnya masyarakat Islam di Palestin.

Kita juga tidak boleh menafikan mengenai kemelut ekonomi global yang tidak menentu yang melanda dunia masa kini yang menyaksikan pemulihannya agak lembap berbanding dengan apa yang berlaku pada tahun 1998. Bagi negara ini, kesan langsung akibat kegawatan ekonomi dunia adalah penurunan harga komoditi yang agak ketara seperti petroleum, kelapa sawit dan getah. Namun begitu, apa yang mengecewakan adalah walaupun harga komiditi yang dikatakan penyebab utama kenaikan harga barangan telah diturunkan oleh pihak kerajaan, namun harga barangan masih terus kekal pada paras yang tinggi sekaligus membebankan para pengguna.

Di Malaysia juga tidak kurang hangatnya mengenai isu-isu yang mendapat perhatian masyarakat selain daripada isu harga barangan. Antaranya mengenai isu politik semasa iaitu perbincangan dalam majlis Wacana Perdana:Transformasi Politik di Malaysia yang membariskan pemimpin-pemimpin politik dan ahli akademik yang membahaskan mengenai perubahan politik di Malaysia selepas PRU ke 12 sehingga menimbulkan polimik berkaitan pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

Selain itu juga kehangatan politik di Malaysia dipanaskan dengan demam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang hanya tinggal 17 hari sahaja lagi. Pilihanraya kali ini bakal mencipta sejarah kerana membariskan beberapa orang calon untuk bertanding merebut kerusi yang ditinggalkan oleh Allayarham Dato' Razali. Walaupun penulis telah mencapai had umur untuk mengundi, namun demikian penulis tidak berkesempatan untuk mengundi kerana proses pendaftaran sebagai Daftar Pemilih yang sah memerlukan tempoh masa selama 3 bulan untuk disempurnakan.

Di kesempatan ini juga penulis ingin mengucapkan takziah di atas kemangkatan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Penulis juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir yang telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11. Daulat Tuanku!!!

Sebelum mengundurkan diri, penulis ingin mengucapkan salam Maal Hijrah 1430 dan selamat menyambut tahun baru 2009 kepada para pembaca sekalian. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini, kita lebih bersedia untuk mengharunginya dengan azam dan semangat yang baru untuk kebaikan diri sendiri, masyarakat dan negara.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saturday, December 27, 2008

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul RahmanTuanku Ja'afar yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-10 bermula 26 April 1994 hingga 25 April 1999 diputerakan di Klang, Selangor, pada 19 Julai 1922.

Baginda merupakan putera kedua Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Agong yang pertama.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti, Kuala Pilah dari tahun 1928 hingga 1933 dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dari tahun 1933 hingga 1944.

Kemudian, baginda melanjutkan pelajaran ke Raffles College Singapura pada tahun 1941, tetapi ia terganggu apabila meletusnya Perang Dunia Kedua.

Semasa pemerintahan Jepun, baginda berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Tanah, Seremban manakala dari 1946 hingga 1947, baginda bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Rembau, Negeri Sembilan.

Baginda juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan di Ipoh dan Pegawai Daerah di Tampin, Negeri Sembilan.

Tuanku Ja'afar meneruskan pengajian yang tertangguh disebabkan Perang Dunia Kedua, dengan memperoleh Ijazah Undang-undang LL.B di Universiti Nottingham, United Kingdom pada tahun 1951.

Semasa berada di Britain, baginda juga mengambil peluang untuk mengikuti beberapa kursus ikhtisas seperti Kursus Pentadbiran di Balliol College Oxford, Kursus Bidang Ekonomi dan Diplomat di Universiti Oxford.

Sebagai seorang yang dinamik dan berfikiran luas, baginda telah diamanahkan menjawat beberapa tugas penting di luar negera; antaranya sebagai Kuasa Usaha Tanah Melayu di Washington, Amerika Syarikat dan Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tetap Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa Bangsa Bersatu di New York dari tahun 1957 hingga 1958.

Baginda juga berkhidmat sebagai Setiausaha Pertama dan Kounselor di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Tanah Melayu di London, dan kemudian pada tahun 1958 hingga 1962 sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di London.

Baginda dilantik sebagai Duta Malaysia di Republik Arab Bersatu yang beribu pejabat di Kaherah dari tahun 1963 hingga 1965 dan Pesuruhjaya Tinggi ke Nigeria dan Ghana dari tahun 1965–1967.

Tuanku Ja'afar menjadi Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 16 April 1976 dan sering menggesa supaya mutu pendidikan negara dipertingkatkan.

Baginda dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-Undang oleh beberapa universiti seperti Universiti Filipina (27 Julai 1990), Universiti Nottingham (21 Julai 1995), Universiti Santiago, Chile (28 September 1995) dan Universiti Brunei Darussalam (11 September 1996).

Baginda pernah menerima Anugerah Pingat Keamanan Dunia Sri Chin Moy Centres International pada 11 Disember 2005 yang disampaikan oleh Sri Chin Moy yang mengasaskan pertubuhan antarabangsa itu sebagai menghargai sumbangan dan jasa baginda dalam kemajuan pendidikan, perkhidmatan awam, sukan, serta memartabatkan nama Negeri Sembilan dan Malaysia di mata dunia.

Tuanku Ja'afar dan keluarga juga turut dikenali sebagai "Keluarga Diraja Sukan" kerana baginda sekeluarga meminati sukan kriket, tenis, badminton, skuasy, hoki dan golf di dalam dan luar negara.

Baginda meninggalkan Tuanku Ampuan, Tunku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, tiga putera dan tiga puteri iaitu Tunku Dara Naquiah, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin, Tunku Imran, Tunku Jawahir, Tunku Irinah dan Tunku Putera Nadzaruddin.

Suatu kehilangan yang besar kepada negara. Al-Fatihah...

sumber : Malaysiakini


Thursday, December 25, 2008

BIngkisan 2008

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Alhamdulillah...Di kesempatan ini, penulis akan mengimbas kembali perkara dan peristiwa yang telah dan akan menjadi sejarah dalam tahun 2008 yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi. Tidak dinafikan banyak peristiwa menarik, lucu, suka dan duka untuk dikongsikan samada ianya berlaku di peringkat nasional mahupun global.

Namun, apa yang penting di sini adalah setiap peristiwa yang berlaku telah ditentukan oleh Ilahi sejak azali lagi dan kita sebagai manusia perlulah redha menerimanya seadanya. Kita sebagai manusia yang waras wajar mengambil pedoman dan iktibar bahawa setiap perkara yang berlaku ada hikmah dan kesan di sebaliknya.

Global
Antara kejadian yang tidak akan dilupakan masyarakat dunia sebelum tahun 2008 melabuhkan tirainya adalah mengenai
  1. Peristiwa seorang presiden Amerika dibaling kasut oleh seorang wartawan Iraq Muntadar al-Zaidi yang berlaku di Iraq semasa lawatan perpisahan ke sana. Ini menunjukkan bahawa kebencian memuncak oleh seorang rakyat Iraq khusunya dan penduduk dunia amnya kepada Presiden Bush mengenai dasar dan polisi Amerika.
  2. Keruntuhan institusi kewangan dan syarikat-syarikat kapitalis gergasi di AS yang muflis akibat berlakunya krisis sub-prima. Juga antara puncanya ialah pengurusan hutang dan pinjaman yang tidak terkawal hingga membebankan sektor kewangan negara itu.
  3. Pemilihan Barack Obama dari Parti Demokrat yang memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat sekali gus mencipta sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Britain.
  4. Penganjuran Olimpik 2008 di China yang mengangkat sebuah negara komunis ke era baru dalam penganjuran acara sukan bertaraf dunia melalui penganjuran yang penuh gilang gemilang dalam sejarah penganjurannya.
  5. Harga minyak dunia dijangka terus merudum dan diramal boleh mencecah serendah AS$25 (RM86.50) setong pada tahun depan berikutan permintaan yang sangat lemah, terutama di kalangan negara-negara industri dunia. Harga emas hitam itu pernah mencatatkan rekod tertinggi iaitu AS$147 (RM508.62) setong pada Julai lalu.
  6. Kejadian serangan oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Mumbai, India menyebabkan 125 orang terbunuh apabila berlakunya serangan di tempat-tempat strategik tumpuan pelancong di sekitar Mumbai. Adakah imej Islam akan terus dikaitkan dalam peristiwa ini.
Nasional
Antara peristiwa yang terlintas dalam pemikiran penulis adalah mengenai
  1. Pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan BN mendapat mandat untuk memerintah negara apabila memenangi 140 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang dipertandingkan. Namun demikian, harga yang terpaksa dibayar oleh BN adalah 5 buah negeri telah diperintah oleh pembangkang yang menubuhkan Pakatan Rakyat. Transformasi politik atau Tsunami Politik berlaku di Malaysia.
  2. Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) telah berjaya dianjurkan oleh FAMA dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berjaya merubah prospek pertanian ke arah satu tahap tinggi dalam membantu perkembangan ekonomi negara.
  3. Pengumuman YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO sekaligus bakal meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Mac tahun depan. Tampuk pemerintahan negara bakal diterajui oleh YAB Dato' Seri Najib Razak pula selepas ini. Tanggungjawab dan cabaran besar kepada beliau.
  4. Tragedi tanah runtuh bagaikan rantaian yang berlaku di Ulu Yam dan di Bukit Antarabangsa menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kepentingan kajian semula pembangunan di kawasan tanah tinggi perlu dilaksanakan segera oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku untuk ke sekian kalinya.
  5. Pindaan AUKU yang memberi kuasa autonomi kepada universiti dan kebebasan berpersatuan kepada mahasiswa memberi nafas baru kepada pengajian tinggi negara ke arah meningkatkan rangking universiti dan modal insan mahasiswa.
  6. Kehilangan Sharlinie sejak 9 Januari lalu mendapat perhatian meluas media dan rakyat Malaysia. Namun, misteri kehilangannya masih menjadi persoalan dan tanda-tanya kepada pihak polis untuk menyelesaikan kes ini.
Penulis cuma mengetengahkan beberapa peristiwa sahaja untuk dikongsi dengan para pembaca dan jika pembaca ingin berkongsi peristiwa lain bolehlah berbuat demikian dengan menghantar komen di bawah. Terima kasih.

Thursday, December 18, 2008

Kepentingan AUKU kepada Mahasiswa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdullilah...pada kali ini penulis ingin membincangkan berkenaan isu yang sebenarnya berkait rapat dengan mahasiswa tetapi kesedaran mengenainya tidak mendapat sepenuh perhatian oleh golongan mahasiswa sendiri dalam ruang lingkup kehidupan mahasiswa di kawasan kampus sekitar penulis. Mungkin kenyataan ini tidak dipersetujui oleh pembaca tetapi mengikut pandangan dan pengamatan peribadi penulis, isu ini hanya hangat dibahaskan dan dibincangkan oleh pejuang-pejuang mahasiswa yang mempunyai kesedaran tentang kepentingan pindaan AUKU ini kepada mereka.

Pindaan Rang Undang-undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang telah berusia 30 tahun telah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini membabitkan 61 pindaan telah mendapat undi majoriti daripada Ahli Parlimen selepas bacaan kali ketiga. Kuasa autonomi lebih luas kepada universiti telah diberikan dengan memindahkan beberapa kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Menteri kepada pihak universiti yang terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Naib Canselor.

Sebagai seorang mahasiswa, penulis tertarik kepada salah satu pindaan yang membenarkan mahasiswa menyertai mana-mana pertubuhan luar kampus termasuk organisasi bukan kerajaan (NGO), yang sebelum ini dilarang sama sekali dalam AUKU.

Melalui pindaan ini, mahasiswa yang selama ini hanya bergiat menerusi kegiatan berpersatuan (contohnya MTM Kolej 14) dan kegiatan politik kampus melalui pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kini berpeluang memperluaskan pembabitan mereka di luar kampus termasuk bergiat aktif dalam aktiviti bersama ahli politik. Penulis merasakan langkah yang diambil kerajaan ini mampu membuka lembaran baru dalam kehidupan mahasiswa yang teruja untuk membabitkan diri dalam arena politik tanah air, bukan terhad dalam sekitar kampus. Apabila difikirkan secara rasional, inilah yang sebaik-baiknya kerana tujuan mahasiswa berada di universiti adalah untuk menimba ilmu bukan sahaja di dalam kuliah, malah di luar bilik kuliah.

Sekadar meminjam frasa indah dari tokoh akademik dan pakar ekonomi ulung negara kita..."Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.." - Profesor Diraja Ungku A. Aziz

Namun demikian, penulis berpandangan mahasiswa sewajarnya tidak terpengaruh secara langsung dengan mana-mana parti politik di negara ini. Kita perlulah bersih daripada anasir-anasir dan dakyah-dakyah politik di luar sana dan membentuk identiti kita sendiri tanpa mengikut acuan parti politik di luar. Mahasiswa harus membuktikan pindaan AUKU yang lebih terbuka ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menimba pengetahuan, pengalaman serta kemahiran berorganisasi demi kemajuan diri sebagai persediaan apabila tamat pengajian. Biarlah kita menjadi pemerhati bebas dan pengimbang-tara dunia politik semasa dari dalam kampus melalui penyertaan kita di dalam NGO-NGO bebas (contoh PKPIM, ABIM) yang tidak terikat dengan parti politik dalam mengemukakan idea positif dan pandangan membina demi kemajuan bangsa dan negara. Oleh itu mahasiswa harus berhati-hati dan bijak dalam memilih haluan masing-masing, apakah organisasi atau pertubuhan yang sesuai mereka sertai, sejajar dengan peranan sebagai seorang mahasiswa.

Apapun penulis berharap kepada diri penulis dan para mahasiswa sekalian, kita harus mengutamakan dulu matlamat utama memasuki universiti iaitu mendapat segulung ijazah. Sekiranya kita lupa tanggungjawab sebenar sebagai mahasiswa, nescaya kita bukan saja membuang masa dan mensia-siakan harapan ibu bapa, malah menyebabkan masa depan menjadi malap. Dengan kebebasan ini, mungkin ada di kalangan kita lebih banyak berpolitik di luar kampus berbanding aktiviti kuliah dan alpa dalam memperjuang kebajikan mahasiswa.

Selain isu berkaitan peranan mahasiswa itu sendiri, pindaan ini juga akan mendorong pemantapan tiga aspek utama iaitu tadbir urus universiti, kebajikan, hak asasi pekerja universiti, kebajikan dan hak asasi pelajar. Ia selaras dengan perkembangan semasa bidang pendidikan tinggi, termasuk pada peringkat antarabangsa dan komitmen kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau. Penulis berharap semua pihak menyambut baik pindaan AUKU itu ke arah memantapkan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi negara umumnya dan mahasiswa khususnya.

Sebarang komen dan maklumbalas daripada para pembaca mengenai isu ini amat dihargai. Sekian untuk kali ini...

Wednesday, December 17, 2008

PerHimPuNan PaTriOTisMe PuTra

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah...akhirnya penulis dapat juga berkesempatan untuk melayari internet setelah hampir seminggu tidak berpeluang untuk menulis di ruangan ini. Ruang waktu yang tidak mengizinkan ditambah dengan masalah untuk mengakses internet di kolej menyebabkan penulis tidak dapat mengupdate berita semasa di internet.

Pada kali ini, penulis ingin berkongsi pengalaman penulis mengikuti program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM di Glory Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan. Program berlangsung selama 3 hari bermula pada 11-13 Disember 2008.

Pada mulanya, penulis agak keberatan untuk mengikuti program ini kerana masih lagi dalam mood bercuti dan mempunyai banyak perancangan bersama-sama rakan-rakan di kampung halaman. Namun demikian, atas semangat KEKOLEJAN yang kuat, penulis menggagahkan diri berkeseorangan pulang ke bumi Serdang. (sepatutnya Sab ikut sekali tapi Lutfi menjadi teman sehingga tiba di UPM)

Perjalanan ke lokasi kem amat menjerihkan kerana penghawa dingin bas (bas sekolah) tidak berfungsi dengan baik. Setelah mengharungi perjalanan selama 3 jam, penulis dan lebih daripada 800 orang peserta yang lain berjaya menjejakkan kaki di Glory Beach Resort. Sebelum ini, penulis pernah mengikuti program anjuran Kolej 14 di sana (Kem Pewaris). Penulis ditempatkan bersama dengan Bad, Edy, Ramzul, Syed dan Fazhil Junior di dalam sebuah bilik (D6-7), agak jenuh mendaki tangga jika lif penuh. Penulis merasakan bahawa Glory Beach Resort hampir ditawan sepenuhnya oleh warga UPM. Pada malamnya selepas taklimat program, penulis tidur lebih awal daripada rakan sebilik kerana kepenatan selepas mengharungi perjalanan panjang yang memenatkan.

Pada asasnya, program ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai patriotisme dan kesedaran nasional melalui ceramah dan bengkel-bengkel kemahiran kepada para mahasiswa dan pemimpin-pemimpin pelajar setiap kolej. Melalui ucapan perasmian dan ceramah yang disampaikan, penulis dapat simpulkan bahawa nilai patritiosme wujud di mana-mana sahaja melalui setiap perbuatan yang kita lakukan dan terpulanglah kepada kita untuk mencernakannya untuk faedah diri, masyarakat dan negara. Jadi penulis menyeru kepada diri penulis dan para pembaca bahawa kita sebagai pewaris kepimpinan negara pada suatu hari nanti untuk kita belajar dari sejarah kerana sejarah mengajar kita tentang erti perjuangan dan susah payah nenek moyang kita dalam usaha untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan dan keharmonian di Malaysia ini.

Selain itu, melalui penganjuran bengkel iaitu Bengkel Zapin, Bengkel Teater, Bengkel Kawad dan Bengkel Pertolongan Cemas, penulis dan rakan-rakan telah banyak belajar sesuatu. Pada mulanya, penulis berpendapat bahawa setiap bengkel yang diwujudkan tidak menyumbangkan sepenuhnya dalam penerapan nilai patriotisme dalam diri peserta, namun demikian setelah menyerap segala inti pati dalam ucapan perasmian dan ceramah, penulis telah membuka hati dan minda untuk berfikir dan menilai setiap aktiviti yang disertai secara positif dan terbuka. Hasilnya, penulis bukan sahaja boleh menari zapin, berkawad dengan "ikhlas", menjadi "mangsa kemalangan" dan mengepalai pementasan teater Kumpulan Akok bahkan penulis dapat membuat kesimpulan bahawa setiap elemen dan nilai dalam bengkel yang disertai perlu diterapkan dalam diri kita untuk persiapan dalam menempuh kehidupan bermasyarakat yang mempunyai pelbagai bangsa yang memerlukan nilai dan sikap saling tolong-menolong, bersatu-padu, kerjasama dan juga menghargai warisan bangsa.

Selain mengikuti program yang dirancang oleh penganjur, penulis juga berkesempatan untuk menghirup udara nyaman di tepi pantai dan bermain 3 on 3 (basketball) pada waktu senggang bersama pengunjung di sana. Selain itu juga, penulis berpeluang untuk menjamu rakan-rakan dengan juadah kerepok lekor yang didatangkan khas dari Losong. Walaupun kuantiti keropok tidak dapat mengatasi kuantiti dan selera penulis dan rakan-rakan, namun kualiti masa bersama, keseronokan dan kepuasan pada wajah rakan-rakan mengubati segalanya.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini berjaya mencapai objektifnya. Namun demikian, beberapa kelemahan dan kekurangan perlu dibaiki agar kesempurnaan dapat dicapai. Saranan dan pandangan para peserta ada kebenarannya dan perlulah dilihat secara positif oleh pihak penganjur secara kolektif. Namun begitu, penulis berpendapat jika setiap perkara disertakan dengan niat yang betul, maka faedah dan kesan yang berguna akan diperolehi.

Setelah berkampung selama 3 hari, khidmat pasukan UPM di PD diperlukan untuk menjadi penyokong dan memeriahkan majlis perasmian Asean University Games Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil. Acara gilang-gemilang itu menyaksikan sebanyak 11+1 negara Asean termasuk Timor Leste menyertai acara yang buat julung kalinya dianjurkan di Malaysia. Semoga Malaysia berjaya merangkul juara dalam kejohanan ini. MALAYSIA BOLEH!!!

Sekian dahulu daripada penulis. Sehingga bertemu pada post yang berikutnya.

Tuesday, December 9, 2008

Kem KeBiTrA

Alhamdulillah...kali ini penulis ingin berkongsi pengalaman dengan para pembaca mengenai aktiviti yang disertai oleh penulis semasa cuti semester pada baru-baru ini. KEBITRA @ Kem Terbilang Putra boleh dikatakan antara program yang memberi impak dan kesan kepada penulis.
Penulis dilantik sebagai Program Coordinator bersama-sama Ex-Officio (Bad & Chip) dan rakan-rakan senior dalam MT MTM (Khairul, Daus, Sab, Diyana) Kem ini terbahagi kepada 3 fasa iaitu:
Fasa 1 : Persediaan Kertas Kerja
Fasa 2 : Team Building
Fasa 3 : Pemurniaan dan Family Days

Sebelum Fasa 2 berlangsung, penulis dan rakan-rakan peserta kem berpeluang mengikuti program Wawasan Desa IPT anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Felda Pasoh 4, Negeri Sembilan. Di sana banyak input dan perkongsiaan berguna yang penulis dapat timba sepanjang 4 hari di sana. Insyaallah pengalaman di sana penulis akan ceritakan pada post yang lain.

Sambutan Hari Lahir yang ke 21

Setiap Fasa menyajikan pengalaman, panduan dan kenangan manis kepada penulis. Insyaallah penulis akan coretkan pada masa yang lain. Namun, antara pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh penulis adalah pada sambutan hari lahir penulis pada tepat jam 12.00 tengah malam pada 12 November. Prang yang menjadi dari rakan-rakan. Sebelum penulis dikenakan dengan teruk pada malam itu, pada sebelah paginya diadakan acara pemulauan sistematik. Sesiapa yang mendekati dan bertegur-sapa dengan penulis akan digelar "pengkhianat" dan "pembelot". Penulis sendiri tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan kedua-dua istilah itu. Namun demikian tiada seorang pun yang ingin merungkaikan persoalan demi menjayakan pemulauan itu. Antara yang terkena tempias gelaran itu adalah Fazhil (S/U Agong) dan Presiden sendiri.

Kebetulan pada sebelah malam (10/11/08) penulis menemani Bangas (felo) ke Kem Pekasa di Hulu Langat. Pada awalnya penulis meminta izin untuk keluar daripada Khairul (Presiden MTM Kolej) dan Edy (Pengarah Program) seperti mana yang disyaratkan oleh undang-undang kem. Keadaan yang tidak mengizinkan penulis untuk pulang ke kolej seperti mana yang dijanjikan Namun, merasakan diri bersalah dengan rakan-rakan peserta lain yang tidak mengetahui bahawa penulis telah ke sana dan bermalam di sana menyebabkan ketidakpuasan hati mungkin timbul di kalangan mereka menyebabkan penulis tidak mendapat "layanan" seperti biasa dengan rakan-rakan peserta kem. Menambahkan nasib malang penulis, handset (Maxis) kesayangan penulis pula hilang tanpa dapat dikesan. Sikap tidak cakna dari rakan-rakan apabila penulis bertanya menyebabkan penulis benar-benar merasakan diri keseorangan.

Seperti biasa, setiap malam akan diadakan ritual penyerahan tugas penghulu dan sesi post mortem. Oleh kerana penulis tidak berpeluang mengikui sesi post mortem pada malam sebelumnya, penulis hanya mengikuti sahaja kerana ritual penyerahan tugas diadakan di dalam bilik ICT manakala post mortem (di laman Dewan Putra)

Seperti biasa Presiden bersama-sama Pengarah Program dan Ketua Aktiviti (Bad) mengendalikan sesi itu. Penulis hanya menjadi pemerhati dari jauh manakala peserta-peserta lain berkumpul di hadapan menghadap "orang-orang kuat" program. Setelah sesi dimulakan terdapat beberapa komen dari peserta yang mengatakan mereka tidak berpuas hati dengan seorang MT yang dikatakan tidak mengikut peraturan program. Pada awalnya penulis berpandangan bahawa MT yang dimaksudkan bukannya penulis. Namun hati ini tersentap dan terkejut apabila Mawi (nama sebenar HASMAWI) tiba-tiba menyebut nama penulis secara terus tanpa segan dan silu. Terpana sebentar penulis lalu mengenangkan peristiwa di siang hari yang dilalui penulis (pemulauan) Hmm...menarik nafas sebentar untuk menjawab tuduhan itu, namun tiba-tiba penulis diserang pula oleh Syed, Reza, Sing Siaw;dia ni pon serang gak, Lutfi (kesemua adalah nama panggilan penulis kepada mereka).

Setelah mendengar segala tuduhan-tuduhan daripada mereka lalu penulis merasakan bahawa tiba masanya bagi penulis untuk menangkis hujah-hujah mereka. Penulis dipanggil ke hadapan menghadap mereka semua bagi menjelaskan perkara sebenar. Tapi, setelah dijelaskan masih lagi terdengar kata-kata ketidakpuasan hati mereka sehingga Pengarah terpaksa campur tangan bagi meredakan suasana yang tegang. Baru sahaja penulis ingin menjelaskan sesuatu, satu hentakan keras hinggap di belakang penulis, kemudian hinggap pula di kepala dan badan penulis lalu disertai nyanyian lagu Happy Birthday menyebabkan penulis terkesima mengingatkan bahawa penulis telah terkena PRANG dari kawan-kawan. Kali terakhir penulis dikenakan apabila menjadi mangsa panggilan hangit oleh Fara Fauzana. (terima kasih Khairul, jasa mu akan ku kenang sampai bila-bila)

Setelah beberapa ketika dihujani peluru telur (redha dikenakan), rakan-rakan yang lain membawa sebiji kek yang comel untuk ditiup lilinnya. Penulis hampir-hampir kehilangan nafas untuk meniup kesemua lilin disebabkan masih terkejut. Disusuli dengan satu bungkusan empat segi yang diberikan oleh Diana. Hmm...dari jauh penulis dapat mengagak bentuk bungkusan ini lalu penulis terus mengeluarkan handset lain (Celcom) lalu mendail nombor maxis penulis. Sah, jangkaan penulis sebelum ini tepat apabila bungkusan itu bergerak-gerak. Aduhh...akhirnya penulis mendapat hadiah hari lahir, hadiah yang sudah menjadi milik sendiri sebelum ini. (handset Maxis)

Kemudian, penulis dan rakan-rakan menyambut hari bersejarah ini dengan penuh kegembiraan. Kini tiba pula giliran penulis untuk mengenakan mastermind dalam sambutan ini. (Khairul, Bad, Edy) Akhirnya mereka berjaya dilumurkan dengan sisa kek yang tinggal. Perang saudara berlaku di dalam bilik ICT dan bernasib baik gencatan senjata dipersetujui bersama dalam masa yang singkat. Namun demikian, Lutfi, Syed, Sing Siaw dan Shahmi terselamat menjadi mangsa peperangan kerana mereka menjadi pelarian.

Sesungguhnya, pengalaman sambutan ini tidak akan dilupakan oleh penulis. Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang menjayakan PRANG ini. Lakonan kalian amat baik sehingga hampir tidak dapat dikesan oleh penulis (lakonan Sing Siaw dan Lutfi hampir tidak menjadi kerana mereka berdua asyik tersenyum dan sebelum ini tidak agresif dengan penulis tiba-tiba menjadi agresif pada malam itu) sehinggakan penulis tidak berupaya menangkis dengan baik serangan dari kalian. Semoga sambutan ini tidak hanya meninggalkan kenangan kepada penulis bahkan dapat dikongsi dengan rakan-rakan semua.

p/s : Pada hari kejadian, Daus, Chip, Sab dan Mei Theen tidak berada bersama-sama kerana menjadi urusetia Kem Pekasa.

Monday, December 8, 2008

HaRi RaYa KoRbAn

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, penulis dapat menyambut Hari Raya Korban pada tahun ini dengan kesyukuran dan penuh kebesaran kepada Ilahi. Berkorban (dalam istilah fekah disebut udhiyah) adalah menyembelih binatang ternak pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Satu peristiwa besar yang melambangkan sejarah agama kerana ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad SAW. Allahuakhbar!Allahuakhbar!Allahuakhbar! Walillahilham....

Pada sebelah paginya, selepas menunaikan solat subuh, sayup-sayup kedengaran laungan takbir di masjid dan surau berdekatan memecahkan kedinginan pagi. Penulis bersiap awal untuk ke masjid, menyarung baju melayu dan lengkap bersampin. Setelah bersiap, penulis berkesempatan untuk membaca akhbar secara on-line, ingin mengetahui perkembangan semasa sebelum menjejakan kaki ke luar.

Alhamdulillah...walaupun cuaca agak mendung, penulis sekeluarga tiba di Masjid Terapung (Masjid Tengku Tengah Zaharah) pada jam 8.00 pagi. Selepas menunaikan solat sunat, penulis bersama-sama jemaah lain bertakbir memuji kebesaran Ilahi. Sungguh syahdu...Selepas menunaikan solat sunat Aidiladha, khatib menyampaikan khutbahnya dengan penuh bersemangat. Intipati khutbah yang masih terngiang-ngiang di gegendang telinga adalah seruan supaya umat Islam supaya bersatu-padu dan melupakan persengketaan di antara satu sama lain seterusnya menjadikan ibadah korban yang dilakukan Nabi Ibrahim AS sebagai contoh keikhlasan dan kepatuhan seorang hamba Allah melaksanakan perintah yang disuruh. Oleh itu, penulis ingin menyeru diri sendiri dan para pembaca sekalian untuk sama-sama kita bermuhasabah diri menilai sejauh mana kita melaksanakan kewajipan kita sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Hmm...sekembalinya ke rumah, penulis berpeluang untuk menyaksikan dan menolong melaksanakan ibadah korban. Di sini penulis melihat permuafakatan di antara masyarakat di sini amat erat melalui kerjasama yang ditunjukkan bagi menumbangkan seekor lembu jantan. Kemudian, kami bersama melapah dan membahagikan daging korban. Ini merupakan kali pertama penulis berpeluang memegang pisau, melapah seekor lembu. Satu pengalaman baharu yang tidak akan dilupakan. Penulis merasakan setiap generasi muda haruslah diberi peluang dan diajar cara-cara untuk melapah. Ini kerana penulis melihat golongan 'generasi tua' yang mendominasi aktiviti ini dan 'golongan muda' hanya menjadi pemerhati. Kelangsungan mengenai kaedah-kaedah ini perlu diperturunkan kepada generasi muda agar pelapis baru dapat dilahirkan.

Setelah proses pembahagian daging korban selesai, penulis sempat menolong abah untuk mengagih-agihkan daging korban kepada jiran-jiran dan rakan-rakan abah. Ini selaras dengan tuntutan agama yang menuntut umatnya menyedekahkan daging korban kepada fakir miskin dan jiran tetangga yang tidak melakukan korban dan juga yang kurang berada.

Di sebelah malamnya penulis ke rumah mak saudara untuk menyertai majlis tahlil. Pada majlis sebeginilah penulis berpeluang untuk bertemu dengan sanak saudara yang ramai setelah lama tidak bersua muka.

Setelah majlis selesai, penulis bergegas ke Gong Badak. Lokasinya Sport X...sebuah gelanggang futsal. Ini kerana pada malam ini penulis dan rakan-rakan akan beriadah bermain futsal. Sukan futsal merupakan kegemaran penulis pada waktu senggang jika bercuti di kampung halaman. Kesempatan bertemu rakan-rakan sambil dapat mengeluarkan peluh tidak disia-siakan walaupun terpaksa mengelurkan sedikit wang poket. Walaupun waktu pada ketika ini tidak sesuai (Raya Korban), tetapi oleh kerana tidak ingin menghampakan permintaan rakan-rakan penulis ke sana juga. Perjalanan memakan masa selama 15 minit menaiki motosikal Ex-5 (motor yang akan dibawa ke UPM). 100km/j...laju.huhu (AMARAN : MENUNGGANG MOTORSIKAL MELEBIHI HADLAJU MEMBAHAYAKAN NYAWA ANDA) Pada malam itu, pasukan penulis memenangi perlawanan dan penulis berjaya menjaringkan gol (x ingat berapa, tp byk gak) Satu kepuasan yang tidak terhingga.

Setelah penat bermain, masa untuk melepaskan lelah di sebuah warung sebelum pulang ke rumah. Jam menunjukkan jam 1.30 pagi ketika penulis sampai di rumah. Mata masih lagi tidak mengantuk, jadi penulis on-line untuk seketika sebelum memejamkan mata di kamar yang seakan-akan memangil-mangil. =P

pOiNT oF ViEw

Blog : Peri Pentingnya Pada Masa Kini

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Alhamdulillah...syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan kurniaNya dapatlah penulis merialisasikan pembinaan sebuah blog sebagai wadah untuk mengharungi liku-liku kehidupan secara maya. Jika dahulu penulis telah mempunyai sebuah blog, namun demikian oleh kerana terdapat beberapa masalah menyebabkan wujudnya blog yang baharu ini.

Menjadi seorang blogger bukanlah menjadi impian dan tidak terfikir di lubuk hati penulis ketika dahulu. Sebelum era dan zaman blog menjadi buah mulut masyarakat, penulis berpendapat masyarakat umumnya belum mengenal apa itu blog? Namun demikian, selepas era Pilihanraya Umum ke-12, blog telah menjadi modal bicara khalayak tidak kira yang berpendidikan tinggi mahupun pakcik-pakcik yang minum di kedai kopi. Dapat dilihat di sini bahawa pengaruh blog pada ketika itu sebagai media alternatif telah menyebabkan salah satu punca sebuah parti politik utama di Malaysia telah gagal mendapat majoriti 2/3 di Parlimen. Blog memainkan peranan sebagai penyebar berita-berita yang tidak sedap didengar, tidak manis dipandang oleh pemerintah..namun demikian ia merupakan salah satu wadah kepada masyarakat yang dahagakan informasi yang tidak hanya mementingkan sesuatu pihak. Penulis tidak berniat untuk menyebelahi mana-mana pihak, tetapi itulah hakikat yang harus diterima oleh semua. Nah!! Begitu besarnya pengaruh blog pada zaman ini.

Setelah penulis meneliti perkembangan ini, dapat penulis simpulkan bahawa peranan yang dimainkan oleh blog amat penting dalam menyebarkan maklumat. Namun, sebagai seorang mahasiswa, penulis melihat kewujudan blog ini amat penting dalam melahirkan mahasiswa yang mampu melahirkan pemikiran yang kritis dan mampu memberikan idea dan pendapat yang membina dalam mewujudkan kelestarian dan keseimbangan dalam kehidupan bermasyarakat. Pada hari ini, penulis melihat begitu banyak blog-blog yang telah diwujudkan oleh mahasiswa yang meliputi semua aspek. Ada di antaranya menjadikan blog sebagai wadah perjuangan kumpulan tertentu dan juga individu. Penulis tertarik dengan kupasan-kupasan yang dinyatakan dalam blog mereka. Ada yang menggunakan bahasa puitis, berbunga-bunga dan ada juga menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami dan kekreatifan mereka dalam mengubah blog supaya lebih menarik amat saya kagumi. Lain orang lain ragam. Itulah kita manusia yang berbeza, walaupun tampak sama dari luaran namun perbezaan antara kita tidak dapat dinafikan.

Ini memberikan inspirasi kepada penulis untuk menjadi seperti mereka. Semoga dengan kewujudan blog ini dapat memberikan pengalaman dan dunia baru kepada penulis. Penulis memohon kepada Allah SWT supaya Dia dapat memberikan penulis kekuatan untuk istiqamah dalam menterjemahkan pandangan dan pemikiran penulis melalui blog ini. Sebarang komen dan maklumbalas dari para pembaca amat penulis hargai.

Assalamualaikum WBT...

TaK KeNaL MaKa TaK CiNtA


BiOdaTa PeNuLiS

Nama : Ahmad Fikri Bin Mohd Samsudin

Alamat : Lot 788 Kg. Gong Nangka, Gong Tok Nasek, 21100 Kuala Terengganu

Tarikh Lahir : 12 November 1987

Tempat Lahir : Kg. Telaga, Kuala Berang, Hulu Terengganu

Sejarah Pendidikan :

i) Tadika Ayer Itam, P.Pinang

ii) Sekolah Pusat Bukit Besar, K.Terengganu

iii) SMK. Bandar, K.Terengganu

iv) SMS. Kuala Terengganu, Terengganu

v) Kolej Matrikulasi Kedah, Changloon

vi) Universiti Putra Malaysia

Kerjaya : Pelajar Jurusan Sains Pertanian Tahun 3

Hobi : Membaca, bersukan, fotografi

Keluarga : Anak ke 3 dari 4 adik beradik lelaki

Salam perkenalan buat semua, sesungguhnya diriku jua ada kelemahan seperti manusia biasa, segala tunjuk ajar dan teguran amatlah digalakkan. Melalui blog ini, penulis berharap dapat berkongsi ilmu dan idea dengan para pembaca mengenai pengalaman penulis seterusnya dapat membuka lembaran baru dalam pencambahan pendapat mengenai isu-isu global dan nasional. Moga-moga kelahiran blog ini dapat memperbaiki diri penulis dalam mengharungi liku-liku hidup yang mencabar.