Alhamdullilah...pada kali ini penulis ingin membincangkan berkenaan isu yang sebenarnya berkait rapat dengan mahasiswa tetapi kesedaran mengenainya tidak mendapat sepenuh perhatian oleh golongan mahasiswa sendiri dalam ruang lingkup kehidupan mahasiswa di kawasan kampus sekitar penulis. Mungkin kenyataan ini tidak dipersetujui oleh pembaca tetapi mengikut pandangan dan pengamatan peribadi penulis, isu ini hanya hangat dibahaskan dan dibincangkan oleh pejuang-pejuang mahasiswa yang mempunyai kesedaran tentang kepentingan pindaan AUKU ini kepada mereka.
Pindaan Rang Undang-undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang telah berusia 30 tahun telah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini membabitkan 61 pindaan telah mendapat undi majoriti daripada Ahli Parlimen selepas bacaan kali ketiga. Kuasa autonomi lebih luas kepada universiti telah diberikan dengan memindahkan beberapa kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Menteri kepada pihak universiti yang terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Naib Canselor.
Sebagai seorang mahasiswa, penulis tertarik kepada salah satu pindaan yang membenarkan mahasiswa menyertai mana-mana pertubuhan luar kampus termasuk organisasi bukan kerajaan (NGO), yang sebelum ini dilarang sama sekali dalam AUKU.
Melalui pindaan ini, mahasiswa yang selama ini hanya bergiat menerusi kegiatan berpersatuan (contohnya MTM Kolej 14) dan kegiatan politik kampus melalui pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kini berpeluang memperluaskan pembabitan mereka di luar kampus termasuk bergiat aktif dalam aktiviti bersama ahli politik. Penulis merasakan langkah yang diambil kerajaan ini mampu membuka lembaran baru dalam kehidupan mahasiswa yang teruja untuk membabitkan diri dalam arena politik tanah air, bukan terhad dalam sekitar kampus. Apabila difikirkan secara rasional, inilah yang sebaik-baiknya kerana tujuan mahasiswa berada di universiti adalah untuk menimba ilmu bukan sahaja di dalam kuliah, malah di luar bilik kuliah.
Sekadar meminjam frasa indah dari tokoh akademik dan pakar ekonomi ulung negara kita..."Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.." - Profesor Diraja Ungku A. Aziz
Namun demikian, penulis berpandangan mahasiswa sewajarnya tidak terpengaruh secara langsung dengan mana-mana parti politik di negara ini. Kita perlulah bersih daripada anasir-anasir dan dakyah-dakyah politik di luar sana dan membentuk identiti kita sendiri tanpa mengikut acuan parti politik di luar. Mahasiswa harus membuktikan pindaan AUKU yang lebih terbuka ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menimba pengetahuan, pengalaman serta kemahiran berorganisasi demi kemajuan diri sebagai persediaan apabila tamat pengajian. Biarlah kita menjadi pemerhati bebas dan pengimbang-tara dunia politik semasa dari dalam kampus melalui penyertaan kita di dalam NGO-NGO bebas (contoh PKPIM, ABIM) yang tidak terikat dengan parti politik dalam mengemukakan idea positif dan pandangan membina demi kemajuan bangsa dan negara. Oleh itu mahasiswa harus berhati-hati dan bijak dalam memilih haluan masing-masing, apakah organisasi atau pertubuhan yang sesuai mereka sertai, sejajar dengan peranan sebagai seorang mahasiswa.
Apapun penulis berharap kepada diri penulis dan para mahasiswa sekalian, kita harus mengutamakan dulu matlamat utama memasuki universiti iaitu mendapat segulung ijazah. Sekiranya kita lupa tanggungjawab sebenar sebagai mahasiswa, nescaya kita bukan saja membuang masa dan mensia-siakan harapan ibu bapa, malah menyebabkan masa depan menjadi malap. Dengan kebebasan ini, mungkin ada di kalangan kita lebih banyak berpolitik di luar kampus berbanding aktiviti kuliah dan alpa dalam memperjuang kebajikan mahasiswa.
Selain isu berkaitan peranan mahasiswa itu sendiri, pindaan ini juga akan mendorong pemantapan tiga aspek utama iaitu tadbir urus universiti, kebajikan, hak asasi pekerja universiti, kebajikan dan hak asasi pelajar. Ia selaras dengan perkembangan semasa bidang pendidikan tinggi, termasuk pada peringkat antarabangsa dan komitmen kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau. Penulis berharap semua pihak menyambut baik pindaan AUKU itu ke arah memantapkan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi negara umumnya dan mahasiswa khususnya.
Sebarang komen dan maklumbalas daripada para pembaca mengenai isu ini amat dihargai. Sekian untuk kali ini...
pindaan nie AUKU nie 1 titik tolak kepada mahasiswa untuk belajar sesuatu di dunia luar.. bukan sekadar di dalam kampus sahaja..
ReplyDeletetp ingat apa tujuan utama kita di Universiti..(renung2kn & selamat beramal)
kenapa eh AUKU tak tertakluk pd UIA dan UiTM?
ReplyDeleteUIA dan Uitm rasanya adalah universiti swasta atau separa swasta jika tidak silap...
ReplyDeleteAUKU
Satu dasar yang bagus,tetapi berbalik kepada pelaksanaan dan peluang yang diambil oleh pelajar.Dihadapan kita,pelaksanaan yang penuh curiga,dendam dan menyekat idealisma pelajar.Zaman mahasiswa,zaman yang penuh idealisma.Idealisma itu mungkin salah dan betul,yang penting biar mahasiswa belajar dari semua itu.
Kita bukan lagi budak hingusan yang perlu dirotan jika salah,yang perlu adalah nasihat.
AUKU perlu keluar dari kotak ideologi sempit POLITIK sesetengah orang!
betul pendapat penulis mengenai auku boleh bantu mahasiswa supaya dapat mengenali dunia luar tetapi, jika benar mahasiswa ini mampu berfikir secara kreatif dan kritis, mahasiswa perlu sentiasa prihatin tentang isu semasa malah memberi respon walaupun ianya bukan secara terus mengenai mahasiswa tetapi prihatin kepada masyarakat juga dan jangan lupe tugas sebagai mahasiswa serta harapan ibudan ayah!!!
ReplyDeleteHIDUP MAHASISWA!
stuju sangat.... ingat lah apa tujuan utama kita di universiti :D
ReplyDelete