Alhamdulillah...Di kesempatan ini, penulis akan mengimbas kembali perkara dan peristiwa yang telah dan akan menjadi sejarah dalam tahun 2008 yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi. Tidak dinafikan banyak peristiwa menarik, lucu, suka dan duka untuk dikongsikan samada ianya berlaku di peringkat nasional mahupun global.
Namun, apa yang penting di sini adalah setiap peristiwa yang berlaku telah ditentukan oleh Ilahi sejak azali lagi dan kita sebagai manusia perlulah redha menerimanya seadanya. Kita sebagai manusia yang waras wajar mengambil pedoman dan iktibar bahawa setiap perkara yang berlaku ada hikmah dan kesan di sebaliknya.
Global
Antara kejadian yang tidak akan dilupakan masyarakat dunia sebelum tahun 2008 melabuhkan tirainya adalah mengenai
- Peristiwa seorang presiden Amerika dibaling kasut oleh seorang wartawan Iraq Muntadar al-Zaidi yang berlaku di Iraq semasa lawatan perpisahan ke sana. Ini menunjukkan bahawa kebencian memuncak oleh seorang rakyat Iraq khusunya dan penduduk dunia amnya kepada Presiden Bush mengenai dasar dan polisi Amerika.
- Keruntuhan institusi kewangan dan syarikat-syarikat kapitalis gergasi di AS yang muflis akibat berlakunya krisis sub-prima. Juga antara puncanya ialah pengurusan hutang dan pinjaman yang tidak terkawal hingga membebankan sektor kewangan negara itu.
- Pemilihan Barack Obama dari Parti Demokrat yang memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat sekali gus mencipta sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Britain.
- Penganjuran Olimpik 2008 di China yang mengangkat sebuah negara komunis ke era baru dalam penganjuran acara sukan bertaraf dunia melalui penganjuran yang penuh gilang gemilang dalam sejarah penganjurannya.
- Harga minyak dunia dijangka terus merudum dan diramal boleh mencecah serendah AS$25 (RM86.50) setong pada tahun depan berikutan permintaan yang sangat lemah, terutama di kalangan negara-negara industri dunia. Harga emas hitam itu pernah mencatatkan rekod tertinggi iaitu AS$147 (RM508.62) setong pada Julai lalu.
- Kejadian serangan oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Mumbai, India menyebabkan 125 orang terbunuh apabila berlakunya serangan di tempat-tempat strategik tumpuan pelancong di sekitar Mumbai. Adakah imej Islam akan terus dikaitkan dalam peristiwa ini.
Antara peristiwa yang terlintas dalam pemikiran penulis adalah mengenai
- Pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan BN mendapat mandat untuk memerintah negara apabila memenangi 140 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang dipertandingkan. Namun demikian, harga yang terpaksa dibayar oleh BN adalah 5 buah negeri telah diperintah oleh pembangkang yang menubuhkan Pakatan Rakyat. Transformasi politik atau Tsunami Politik berlaku di Malaysia.
- Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) telah berjaya dianjurkan oleh FAMA dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berjaya merubah prospek pertanian ke arah satu tahap tinggi dalam membantu perkembangan ekonomi negara.
- Pengumuman YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO sekaligus bakal meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Mac tahun depan. Tampuk pemerintahan negara bakal diterajui oleh YAB Dato' Seri Najib Razak pula selepas ini. Tanggungjawab dan cabaran besar kepada beliau.
- Tragedi tanah runtuh bagaikan rantaian yang berlaku di Ulu Yam dan di Bukit Antarabangsa menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kepentingan kajian semula pembangunan di kawasan tanah tinggi perlu dilaksanakan segera oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku untuk ke sekian kalinya.
- Pindaan AUKU yang memberi kuasa autonomi kepada universiti dan kebebasan berpersatuan kepada mahasiswa memberi nafas baru kepada pengajian tinggi negara ke arah meningkatkan rangking universiti dan modal insan mahasiswa.
- Kehilangan Sharlinie sejak 9 Januari lalu mendapat perhatian meluas media dan rakyat Malaysia. Namun, misteri kehilangannya masih menjadi persoalan dan tanda-tanya kepada pihak polis untuk menyelesaikan kes ini.
Nak tambah...
ReplyDeleteTahun 2008...
Tahun Paling Banyak Manusia Bersumpah!!
:P