Tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk umat manusia melangkah ke tahun baru 2009. Tahun 2008 bakal melabuhkan tirainya menjelang detik jam 12 tengah malam ini. Menyingkap kembali peristiwa-peristiwa yang telah berlaku membuatkan penulis merasakan bahawa masa berlalu begitu pantas. Ini membuatkan penulis teringat kata-kata nasihat dan peringatan daripada mantan pengetua Kolej 14, Encik Aris. Beliau berpesan "Selagi surah al-Asr masih terdapat dalam al-Quran, selagi itulah manusia akan berada dalam kerugian. Kecuali mereka-mereka yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan kesabaran."
Ini menyebabkan penulis berfikir sejenak, adakah masa yang dikurniakan oleh Allah SWT sepanjang tahun 2008 dimanfaat sepenuhnya oleh penulis dengan baik? Ada benar kata-kata nasihat oleh beliau berlandaskan firman Allah SWT dalam kitab suci al-Quran. Justeru, penulis menyeru diri penulis dan para pembaca sekalian untuk sama-sama kita bermuhasabah diri tentang kelemahan dalam aspek pengurusan masa supaya kedatangan tahun baru ini memberikan nafas baharu untuk berubah ke arah yang positif dalam memperbaiki dan meningkatkan disiplin dalam diri.
Selain itu timbul juga persoalan mengenai azam setiap kali munculnya tahun baru. Adakah azam yang dirangka pada awal tahun berjaya dilaksana dengan sepenuhnya atau masih relevan untuk dibawa ke tahun 2009 pula? Bagi penulis, apa yang penting adalah penetapan setiap matlamat perlu seiring dengan usaha yang berterusan ke arah mencapai cita-cita yang diimpikan tanpa melupakan iringan doa memohon kepada Ilahi agar setiap impian kita mendapat keredhaan Allah SWT. Jika matlamat atau cita-cita kita masih tidak kesampaian, mungkin itu adalah salah satu cara Allah SWT untuk menguji hambaNya dan kita perlulah redha menerimanya dengan hati yang terbuka. Mungkin ada hikmah tersembunyi disebaliknya.
Menyentuh isu semasa dunia global sebelum kita menjejak gerbang 2009, penulis mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman rejim Zionis yang sewenang-wenangnya membedil wilayah Semenanjung Gaza, Palestin hingga mengorbankan hampir 400 penduduk Palestin dan menyebabkan beribu-ribu yang lain cedera. Bagaimanapun, dunia hanya memerhatikan sahaja dan hanya mampu mengeluarkan kenyataan, amaran dan teguran sahaja, namun Zionis di bawah jagaan Amerika Syarikat bebas mengganas membunuh seperti dahagakan darah. Justeru, Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih berani lagi bagi memperjuangkan hak asasi manusia khususnya masyarakat Islam di Palestin.
Kita juga tidak boleh menafikan mengenai kemelut ekonomi global yang tidak menentu yang melanda dunia masa kini yang menyaksikan pemulihannya agak lembap berbanding dengan apa yang berlaku pada tahun 1998. Bagi negara ini, kesan langsung akibat kegawatan ekonomi dunia adalah penurunan harga komoditi yang agak ketara seperti petroleum, kelapa sawit dan getah. Namun begitu, apa yang mengecewakan adalah walaupun harga komiditi yang dikatakan penyebab utama kenaikan harga barangan telah diturunkan oleh pihak kerajaan, namun harga barangan masih terus kekal pada paras yang tinggi sekaligus membebankan para pengguna.
Di Malaysia juga tidak kurang hangatnya mengenai isu-isu yang mendapat perhatian masyarakat selain daripada isu harga barangan. Antaranya mengenai isu politik semasa iaitu perbincangan dalam majlis Wacana Perdana:Transformasi Politik di Malaysia yang membariskan pemimpin-pemimpin politik dan ahli akademik yang membahaskan mengenai perubahan politik di Malaysia selepas PRU ke 12 sehingga menimbulkan polimik berkaitan pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.
Selain itu juga kehangatan politik di Malaysia dipanaskan dengan demam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang hanya tinggal 17 hari sahaja lagi. Pilihanraya kali ini bakal mencipta sejarah kerana membariskan beberapa orang calon untuk bertanding merebut kerusi yang ditinggalkan oleh Allayarham Dato' Razali. Walaupun penulis telah mencapai had umur untuk mengundi, namun demikian penulis tidak berkesempatan untuk mengundi kerana proses pendaftaran sebagai Daftar Pemilih yang sah memerlukan tempoh masa selama 3 bulan untuk disempurnakan.
Di kesempatan ini juga penulis ingin mengucapkan takziah di atas kemangkatan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Penulis juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir yang telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11. Daulat Tuanku!!!
Sebelum mengundurkan diri, penulis ingin mengucapkan salam Maal Hijrah 1430 dan selamat menyambut tahun baru 2009 kepada para pembaca sekalian. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini, kita lebih bersedia untuk mengharunginya dengan azam dan semangat yang baru untuk kebaikan diri sendiri, masyarakat dan negara.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
No comments:
Post a Comment