add us on facebook http://www.facebook.com/pages/Redang-Island-Malaysia/221443514558520

Friday, January 30, 2009

Syabas Tayyip Erdogen!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Penulis bergitu teruja untuk menyaksikan peristiwa yang berlaku di Davos, Switzerland semasa persidangan World Economy Forum (WEF) yang memperlihatkan belang seorang pemimpin yang lantang menempelak Israel selepas diberitahu mengenai peristiwa itu semalam. Lantas, pada pagi ini penulis membuka laman YouTube untuk menyaksikannya sendiri drama di pentas persidangan.

Selepas bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres, beliau bertindak keluar dari persidangan ketika ia sedang hangat berdebat mengenai serangan Israel ke atas Gaza. Erdogan berang selepas penulis Washington Post yang mempengerusikan majlis, David Ignatius, hanya memberinya 12 minit untuk berucap sedangkan Peres, lantang berhujah selama 25 minit. Beliau dengan bergayanya meninggalkan pentas yang membariskan ahli-ahli panel termasuk Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Setiausaha Liga Arab, Amr Moussa (sempat lagi bersalam)

Pada kaca mata penulis, beliau telah berjaya menzahirkan pendirian umat Islam dan pencinta keadilan yang mengutuk kekerasan Israel di bumi Gaza. Beliau telah menunjukkan sikap tegas sebagai seorang pemimpin yang menzahirkan pendirian dunia di pentas yang tepat sekaligus memberi harapan baru ditengah-tengah kelesuan pimpinan Arab dan dunia Islam masa kini.

http://www.youtube.com/watch?v=o4rXym7zsso


Sunday, January 25, 2009

Gong Xi Fa Cai

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Di kesempatan ini, penulis ingin mengambil untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua anggota masyarakat Tionghua di Malaysia. Semoga tahun yang baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua.

Penulis juga berharap agar perpaduan antara kaum dapat dieratkan lagi seterusnya kita semua dapat menjalani kehidupan yang harmoni dan bersatu padu di antara satu sama lain.

Allah SWT sendiri menyeru agar hubungan seumpama ini sentiasa dibentuk sebagaimana firman Nya dalam surah al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)."

Gong Xi Fa Cai kepada semua.

Thursday, January 22, 2009

Presiden Obama

Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Dunia masih hangat memperkatakan tentang pelantikan Barack Hussein Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-44 menerusi majlis angkat sumpah di luar Capitol AS, semalam sekaligus membawa harapan kepada kelahiran sebuah negara AS baru.

Obama yang melakar sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS, tidak hanya membawa mesej pembaharuan kepada rakyat di negara berkenaan, sebaliknya memikul impian yang lebih besar bagi kebanyakan masyarakat dunia. Hakikatnya, Obama tidak mungkin dapat memenuhi semua janji-janji manis yang dibuatnya, apatah lagi harapan yang dihimpun oleh rakyat Amerika dan dunia terhadapnya.

Isu konflik Palestin-Israel, misalnya tidak mungkin beliau boleh membawa kedamaian tanpa puak bertelagah di Palestin tidak berdamai dan Israel tidak hanya mementingkan diri sendiri. Pemilihan Obama sebagai Presiden Amerika memang membawa harapan baru tetapi harus diingat beliau adalah presiden negaranya dan bukanlah presiden dunia. Obama juga perlu mematuhi dasar berhubung konflik Asia Barat yang ditetapkan oleh institusi dan undang-undang AS demi menjaga kepentingan politiknya.

Pastinya, Obama tidak akan mengambil sebarang penyelesaian yang dilihat tidak menyebelahi Israel, malah tidak keterlaluan untuk dikatakan AS di bawah era Obama juga akan terus menyokong ekonomi Israel dan membekalkan senjata kepada tentera Zionis.

Jika hari ini, adakah dengan panggilan telefon oleh Presiden Barack Obama kepada empat pemimpin rantau, Presiden Mesir, Hosni Mubarak, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, Raja Jordan, Raja Abdullah dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas boleh dijadikan kayu ukur komitmen segera Obama dalam mewujudkan perdamaian di Asia Barat, khususnya menamatkan konflik Gaza? Tidak dapat tidak, penulis hanya mampu berdoa agar keamanan di Gaza akan berjaya diwujudkan tanpa sebarang diskriminasi.

Monday, January 19, 2009

Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, pada kali ini penulis dapat meluangkan masa untuk menulis setelah sekian lama bercuti. Bukan niat di hati untuk 'berehat' lama dari menulis, tapi atas beberapa faktor tertentu menyebabkan penulis tidak berpeluang meluahkan sesuatu untuk tatapan pembaca.

Suasana Pemilihan


Pemilihan MPP UPM sesi 2008/09 masih lagi segar dan panas dikatakan. Penulis mendapati hampir di mana-mana sahaja warga kampus membincangkannya. Sejak hari pendaftaran calon pada 14/01/09 sehinggalah pemakluman keputusan pada 19/01/09 bersamaan dengan hari pembuangan undi, pemilihan kali ini tetap menjadi tumpuan dan fokus utama. Penulis juga tidak terkecuali melibatkan diri dalam pemilihan kali ini apabila memohon untuk menjadi calon. Alhamdulillah, dengan keizinanNya, penulis dapat bertanding sebagai calon bebas dan dipilih sebagai ahli MPP.

Tidak dinafikan, kemeriahan dan suasana pemilihan agak berbeza dengan tahun-tahun lepas. Antara yang ketara adalah kemalapan perang poster, tempoh berkempen yang singkat dan tiada rapat umum secara bebas. Walaupun mendapat tentangan dari sebahagian pihak, namun penulis berpendapat bahawa terdapat pro dan kontra di sebalik pelaksanaanya. Beberapa peraturan baru diwujudkan untuk memberi peluang dan ruang kepada bakal-bakal calon dan pemimpin MPP untuk mengadaptasinya dengan seberapa segera. Setiap perubahan sukar untuk diterima dan memerlukan masa untuk disesuaikan dengan keadaan semasa serta setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Penulis berharap agar pemilihan pada sesi akan datang, pihak Universiti akan mengambil kira pandangan umum dan mengkaji kelemahan yang timbul supaya pemilihan pada masa depan lebih baik dan bebas dari kontroversi.


Secara peribadi, penulis ingin memberikan kredit kepada Jawatankuasa Audit (JA) yang mengawal sistem e-undi dalam pemilihan kali ini. Penulis berpeluang menyaksikan pengendalian sistem ini yang dilakukan secara telus dan sedikit sebanyak pemilihan di setiap zon berjalan dengan lancar dan baik.


Pro-Aspirasi vs Pro-Mahasiswa


Kewujudan kem Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa juga sedikit sebanyak menghangatkan suasana. Pelabelan calon sebagai Pro-Aspirasi ataupun Pro-Mahasiswa menjadikan suasana pilihan raya kampus lebih menarik dan matang. Secara peribadi, jika hendak melihat kematangan dan kebebasan politik kampus, ia hendaklah bebas daripada sebarang pengaruh pihak luar. Biarlah pelajar-pelajar di universiti memikirkan sendiri corak, ideologi dan falsafah perjuangan sendiri. Biarlah politik kampus benar-benar tulen dalam ruang lingkup politik mahasiswa tanpa sebarang elemen dan unsur yang boleh dikaitkan dengan mana-mana pihak ketiga. Penentuan hala tuju perjuangan ahli-ahli MPP dan mereka yang berpolitik dalam kampus perlu ditentukan sendiri oleh mereka. Pada masa yang sama juga, sebarang tindakan dan usaha yang dibuat perlulah berdasarkan peraturan Universiti dan AUKU itu sendiri. Dengan demikian, MPP dapat bergerak dengan jayanya dalam memperjuangkan kebajikan pelajar.


Namun begitu, jika kumpulan-kumpulan tertentu ini masih perlu diwujudkan, biarlah kumpulan ini berjuang dengan prinsip, ideologi dan falsafah mereka sendiri tanpa dibayangi mana-mana pihak. Jika disebut sahaja Kumpulan A, akan terbayanglah perjuangan mereka demi manifesto yang telah dijanjikan dalam kempen pemilihan kampus. Pada masa ini, fokus setiap ahli MPP yang telah dipilih perlulah mengutamakan kepentingan umum melebihi kepentingan peribadi dan meletakkan batu asas kebajikan pelajar sebagai perjuangan utama mereka sebagai 'wakil rakyat' kampus UPM.

Bagaimanapun, sekiranya seorang kita telah menamatkan pengajian dengan jayanya, tidak ada halangan untuk mereka mengembangkan karier politik mereka di luar. Terpulanglah ke arah ideologi politik mana yang mereka hendak ikuti sejajar dengan prinsip politik demokrasi itu sendiri.

Penghargaan

Walaupun penulis masih setahun jagung berkecimpung dalam dunia politik kampus, namun ia sedikit sebanyak mengajar penulis erti kehidupan sebenar. Sesungguhnya, sekelumit pengalaman yang ditimba ini tidak akan dapat dibeli dengan wang ringgit.

Di kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan penulis terutamanya Saudara Khairul Anuar, pencadang bagi penulis yang banyak berkorban masa, wang dan tenaga membantu kemenangan penulis. Tidak lupa juga kepada Akram, Che, Sing Siaw dan Odin yang meminjamkan masa mereka menemani penulis berjumpa dengan para pengundi.

Ucapan terima kasih kepada rakan-rakan MTM Kolej 14 yang banyak membantu menyebarkan 'propaganda'. Abah, Mama, Angah, Along, dan Boy yang banyak mendoakan kejayaan penulis. Tidak dapat dinafikan, para pengundi di kubu kuat penulis di Kolej Serumpun juga banyak membantu. Begitu juga kepada pegawai-pegawai Hal Ehwal Pelajar yang banyak memberikan tunjuk ajar dan nasihat. Penulis juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dan mahasiswa UPM yang sudi mengundi penulis dan mendoakan kejayaan penulis serta mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pemilihan kali ini. Sesungguhnya hanya Tuhan yang dapat membalasnya.

Harapan

Sekali lagi penulis ingin berpesan kepada diri penulis dan rakan-rakan yang bakal menjawat jawatan dalam MPP, kita harus memperbetulkan niat utama kita iaitu kesediaan untuk memikul beban dan amanah serta harapan mahasiswa. Kita dipilih untuk memastikan 'suara' mereka agar dapat didengari dan masalah mereka dapat diselesaikan. Oleh yang demikian, penulis mengharapkan respon di kalangan pembaca. Sebarang komen, cadangan, kritikan membina, pandangan dan maklum balas dari rakan-rakan pembaca amat penulis hargai untuk memperbetulkan diri dan sekumpulan mahasiswa yang bergelar Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia.

Sekian dahulu. Terima kasih.

p/s : Insyallah penulis akan memaparkan keputusan rasmi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar pada post akan datang.

Saturday, January 10, 2009

10 Pintu Yang Perlu Dijauhi

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada kali ini, penulis ingin berkongsi dengan para pembaca mengenai musuh kita yang nyata, Syaitan Laknatullah. Tetapi sebaliknya, kita selalu menjadikannya pendamping dan rakan dalam urusan kehidupan kita. Semoga dengan peringatan ini, kita sama-sama dapat mencegah penyakit-penyakit hati ini dan sentiasa berpegang kepada tali Allah. Insyaallah...

Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu:

1. Melalui sifat bohong dan angkuh
Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

2. Melalui sifat bakhil dan kedekut
Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

3. Melalui sifat takbur dan bongkak
Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.'' (An-Nahl:23)

4. Sifat khianat
Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat
Junjungan Rasulullah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

6. Melalui sifat hasad
Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain
Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim).

8. Melalui sifat ujub atau bangga diri
Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

9. Melalui sifat suka berangan-angan
Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.

10. Melalui sifat buruk sangka
Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. RasuluLlah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.'' (Riwayat Muslim)

Wednesday, January 7, 2009

Sepurnama Usiaku

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdullilah, pada hari ini genaplah tempoh sebulan penulis berkecimpung dalam bidang penulisan blog. Setakat ini, sehingga jam 9.30 pagi, sebanyak 1330 pengunjung telah sudi menjenguk dan melawat blog penulis. Suatu angka yang agak besar bagi penulis dalam tempoh sepurnama ini sekaligus menjadi titik tolak dan pembakar semangat kepada penulis agar terus istiqamah berkarya. Jadi di kesempatan ini, penulis ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menyokong pembabitan penulis dalam bidang penulisan blog ini.

Terima kasih juga di atas pandangan, cadangan, kritikan, nasihat, sokongan moral dan tunjuk ajar daripada kalian semua. Insya-Allah, medium blog ini akan menjadi 'batu loncatan' kepada penulis untuk terus merencana idea melalui bentuk penulisan bagi menzahirkan pendapat, berkongsi pandangan dan juga sebagai ejen sebaran dakwah kepada para pembaca sekalian.

Sebelum penulis mengundurkan diri, penulis berharap agar para pembaca terutama rakan-rakan penulis dapat memanafaatkan peluang dan menggunakan ruang yang tersedia dalam era IT yang serba canggih ini untuk kita sama-sama mewujudkan blog peribadi. Semoga perkongsian idea dan pandangan serta penjanaan pemikiran kritis dapat diwujudkan di kalangan kita suatu hari nanti melalui media alternatif ini.

Monday, January 5, 2009

Hari Asyura

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu 10 Muharam. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

14 perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram)
  1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

  2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

  3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.

  4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

  5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.

  6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

  7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

  8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."

  9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.

  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.

  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.

  12. Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.

  13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

  14. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.
Sementara peluang masih ada, kita harus berlumba mengerjakan ibadah sunat bagi menambah kekuatan iman dan mendekatkan diri kepada Allah dengan harapan menjadi insan yang taat, bertakwa serta diredaiNya di dunia dan akhirat.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.
Sejarah Karbala

Pertempuran Karbala terjadi pada 10 Muharram, 61 H (10 Oktober, 680) di Karbala, di Iraq masa kini. Pertempuran ini berlaku antara penyokong Husain bin Ali dengan tentera Khalifah Yazid bin Muawiyah. Ketika itu ramai ahli keluarga Nabi Muhammad terbunuh kerana menjadi penyokong dan pengikut setia Husain bin Ali. Yazid bin Muawiyah atau Yazid I adalah dari Dinasti Umaiyah.

Seramai 72 orang, tua dan muda menyertai rombongan Hussein bin Ali ke Kufah dan kesemuanya terbunuh dalam satu pengepungan Ramai wanita dan kana-kanak telah ditangkap. Tentera Khalifah Yazid pula seramai 30,000 orang di bawah pimpinan Umar bin Saad. Lebih 88 tentera Yazid terbunuh dalam pertempuran selama 3 hari itu.

Lokasi pertempuran ialah di sebuah gurun berhampiran Sungai Furat.

Husain bin Ali ialah cucu lelaki Nabi Muhammad SAW. Pertempuran ini dianggap oleh orang Syiah sebagai titik pemisah antara pengikut sebenar Allah dengan yang tidak. Pengikut Syiah menjadikan peristiwa ini untuk memburuk-burukkan Khalifah Yazid kerana Khalifah Yazid tidak menerima 'ahlul bait' sedangkan mereka adalah ahli keluarga Rasulullah. Pertempuran ini dianggap antara titik perpisahan antara Syiah dan Sunnah.

Orientalis Barat mengambil kesempatan dari ketidakpuashatian orang Syiah ini untuk memburuk-burukkan Khalifah Yazid sebagai kejam dan zalim. Kononnya Husain bin Ali telah disembelih oleh Yazid. Sedangkan ramai sejarawan sendiri mendapati Husain dibunuh oleh orang Syiah dari Kufah sendiri , bukan oleh tentera Khalifah Yazid.

Pertempuran ini dikenang setiap tahun oleh orang Islam Syiah dan sebahagian oleh orang Islam Sunnah. Hari tersebut dikenali sebagai Hari Asyura, iaitu pada hari ke-10 setiap bulan Muharam. Di Malaysia dan banyak tempat di dunia bubur asyura dimasak dan dijamu kepada orang ramai.

sumber : http://ms.wikipedia.org , http://www.ashtech.com.my


Saturday, January 3, 2009

Palestin diserang : Peranan Mahasiswa?

Ketika dunia meriah menyambut tahun baru 2009, rakyat Palestin sekali lagi diserang Israel di Gaza, menyebabkan ramai terkorban. Namun, seperti biasa dunia, termasuk badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengambil tindakan konkrit untuk menyekat keangkuhan Israel yang didokong Amerika Syarikat itu.

Masyarakat antarabangsa pula meluahkan perasaan mereka melalui demonstrasi di seluruh dunia melaung-laungkan suara keamanaan dan kebebasan kepada Palestin. Bantahan anti Israel turut disaksikan di Jakarta dengan berpuluh ribu rakyat Indonesia berdemonstrasi di Jakarta. Beribu-ribu lagi mengadakan tunjuk perasaan di Afghanistan dan lebih 4,000 penduduk Muslim Sydney turut mengadakan tunjuk perasaan manakala beratus-ratus Muslim membakar bendera Israel di kawasan Kashmir ditadbir India.

Di Malaysia juga tidak terkecuali. Penulis percaya hampir di seluruh negara mengadakan demonstrasi aman dan mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin dari keganasan rejim Zionis. Begitu juga yang berlaku di universiti-universiti hasil usaha mahasiswa yang mempunyai kesedaran berkaitan isu ini. Terbaru, bantahan dan ketidakpuashatian ke atas kekejaman rejim Zionis disuarakan oleh mahasiswa UTM. Sebelum ini di UM juga diadakan program berkaitan atas membina kesedaran dalam membantah kekejaman rejim Israel ke atas Palestin.

Namun demikian, penulis agak terkilan kerana kampus penulis, UPM, masih lagi belum mengadakan rapat umum bagi menunjukkan kesepakatan dan kesedaran mahasiswa berkaitan isu ini. Walaupun ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa demonstrasi bukan jalan yang terbaik dan berkesan dalam menyelesaikan sesuatu perkara, tetapi penulis melihat bahawa nilai positif jika acara seperti ini diadakan adalah ia dapat memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang kepentingan dan tanggungjawab mereka dalam isu kemanusian seperti ini. Isu ini bukan hanya perlu diketahui oleh mahasiswa beragama Islam sahaja, namun mahasiswa berlainan agama juga perlu cakna dan sentiasa mengikuti perkembangan kekejaman Israel ke atas Palestin setiap masa.

Selain itu juga, perkumpulan seperti ini dapat menzahir dan menjuruskan doa untuk kesejahteraan masyarakat Palestin dengan harapan agar rejim Zionis dapat ditewaskan dan negara merdeka Palestin dapat ditubuhkan seterusnya dapat mengakhiri azab dunia rakyat Palestin. Semoga melalui demonstrasi ini juga dapat menyatukan masyarakat kampus tanpa mengira bangsa dan agama dalam mendokong perjuangan rakyat Palestin memperjuangkan hak-hak mereka yang telah menjangkau usia hampir 60 tahun untuk membebaskan diri dari cengkaman Israel.

Oleh itu, penulis menyeru persatuan-persatuan, MTM kolej-kolej dan gerakan-gerakan mahasiswa UPM agar bersatu mengembleng tenaga dalam usaha mengadakan rapat umum bagi menyatakan bantahan dan bersuara di atas apa yang telah berlaku. Lakukanlah ia demi prinsip kemanusiam sejagat. Semoga apa yang kita lakukan ini walaupun tidak memberi impak yang besar namun dapat memberi kesedaran bahawa nilai kemanusiaan perlu ditegakkan dalam dunia yang penuh noda ini.

Peranan kita
1) Boikot barangan Yahudi
2) Melakukan solat hajat dan berdoa kepadaNya
3) Sentiasa mengambil cakna isu Palestin
4) Menyampaikan kepada rakan-rakan yang tidak tahu
5) Jangan berpecah-belah kerana salah satu punca Palestin dijajah

Sebarang komen, pandangan dan maklum balas berkaitan isu ini amat dihargai.

Friday, January 2, 2009

Pernah mencari cinta?

Pada penulisan kali ini, penulis ingin berkongsi dengan para pembaca mengenai topik yang sememangnya akan mendapat perhatian daripada golongan yang seangkatan dan sebaya dengan penulis iaitu REMAJA.

Topik ini belum pernah lagi dikupas oleh penulis sebelum ini. Namun, penulis sekadar ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian mengenai sebuah cerita menarik yang telah dibaca oleh penulis yang ada kaitan mengenai topik hangat ini. Sesungguhnya, cinta merupakan suatu fitrah dalam kehidupan manusia. Selamat membaca. =D

Seperti Plato mencari cinta, dia bertanya pada gurunya,

"Bagaimana saya menemukan cinta?"

dijawab oleh gurunya,

"Ada ladang gandum yang luas didepan sana. Berjalanlah kamu dan tanpa boleh berundur kembali, kemudian ambillah satu saja ranting. Jika kamu menemukan ranting yang kamu anggap paling menakjubkan, ertinya kamu telah menemukan cinta."

Plato pun berjalan, dan tidak seberapa lama, dia kembali dengan tangan kosong, tanpa membawa apapun. Gurunya bertanya,

"Mengapa kamu tidak membawa satupun ranting?"

Plato menjawab,

"Aku hanya boleh membawa satu saja, dan saat berjalan tidak boleh berundur kembali (berpatah balik). Sebenarnya aku telah menemukan yang paling menakjubkan, tapi aku tak tahu apakah ada yang lebih menakjubkan lagi di depan sana, jadi tak ku ambil ranting tersebut. Saat ku meneruskan berjalan lebih jauh lagi, baru ku sedari bahawa ranting-ranting yang ku temukan kemudian tak sebagus ranting yang tadi, jadi tak ku ambil sebatang pun pada akhirnya."

Gurunya kemudian menjawab,

"Jadi ya itulah cinta" Atau mungkin seperti Arjuna yang mencari cinta? mendaki gunung tertinggi, menjelajahi isi bumi, mengarungi laut samudera. Atau seperti Ibrahim A.S yang mencari cinta? ketika malam datang terlihat bintang, "inikah yang aku cari?" Tapi ketika pagi tiba bintang pun menghilang "aku tak menyukai yang tenggelam". Begitu pun ketika melihat rembulan, melihat matahari yang lebih besar sinarnya, hingga akhirnya beliau menemukan cintanya...

Yang menciptakan bintang, rembulan, matahari dan semuanya. Bagaimana? Sudah menemukan cinta? Mudah-mudahan kita sudah menemukan sumber cinta dari segala cinta (Allah SWT), seperti nabi Allah Ibrahim A.S. kerana InsyaAllah dengan begitu kita akan menemukan cinta-cinta yang lain.

Cinta kepada Rasulullah SAW yang sangat mencintaimu, kemudian cinta kepada Ibumu dan ayahmu yang dengan cinta membesarkanmu, cinta kepada suami/isterimu yang mendampingimu, kepada keluargamu, kepada tetanggamu, orang-orang yang lemah di antaramu, kerabatmu, dan seluruh mahluk-Nya...

Bak kata Prof Madya Dr. Izi.. "Renung-renungkan dan selamat beramal..."

sumber : http://www.iluvislam.com

Thursday, January 1, 2009

PERILAKU BERDASARKAN TARIKH LAHIR ISLAM…

Assalamualaikum dan salam tahun baru...

Seiring dengan peningkatan umur kita dengan kemunculan tahun baharu setiap tahun tidak kira dalam kalendar Masihi mahupun kalendar Islam menyedarkan kita tidak bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja.

Jadi, kali ini penulis ingin berkongsi dengan para pembaca mengenai umur kita dalam bulan Islam. Jika sebelum ini kita hanya mengetahui umur kita berdasarkan tahun Masihi sahaja dan tidak menyedari bahawa setiap bulan dalam kalendar Islam juga mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri peribadi tersendiri seseorang itu.

Sekadar renungan dan muhasabah diri dari lanjutan ilmu 'TARIKH LAHIR' dan perilaku kita sebagai hamba di muka bumi ini. Sampai-sampaikanlah.

Download Dulu File Tarikh Lahir Anda

Cuba di excel file yang di attachedkan

CONTOH:Masukkan Tarikh Lahir (dalam Masihi/Miladi), Hari Bulan Tahun

kemudian tekan [ OK ]

25 1 1974 [ OK ]

Hitungan Tarikh:

Tarikh lahir:
25 Januari 1974
- Jumaat - 1 Muharram 1394

Tarikh hari ini: 17 Jun 2008
- Selasa

Beza tarikh:
12562 hari

Hitungan Umur: 34 tahun 4 bulan 23 hari (12562 hari)

HIJRAH
Sekiranya anda mengetahui pada bulan Hijrah anda dilahirkan, menurut pengetahuan tradisional bulan itu mempunyai pengaruh yang tersendiri terhadap perilaku. Dicatatkan bagi menambahkan pengetahuan

MUHARRAM
Bersifat pendiam, sihat fikirannya. Mungkin akan menjadi bodoh jika tidak mendapat didikan yang sempurna, walaupun begitu, jika dididik dengan baik, dia boleh menjadi cerdik kerana bakat fikiran yang pintar cerdas ada padanya. Dia mempunyai keinginan yang baik dan selalu berada dalam selamat.

SAFAR
Tabiatnya buruk. Dia tidak suka mengakui kesalahannya. lbubapanya perlu mendidiknya bagi menghilangkan tabiat buruk itu, jika tidak, kehidupannya akan menjadi susah di kemudian hari. Walaupun begitu, sekiranya dia melakukan sesuatu untuk kepentingan dirinya, selalunya ianya akan mendatangkan hasil.

RABIULAWAL
Perwatakannya baik. Mungkin dia akan mendapat pangkat besar, menjadi orang berpengaruh atau kaya tanpa diduga. Dalam pekerjaan ramai yang suka. Sifat negatif dirinya termasuklah kurang sabar, hatinya keras dan mudah marah.

RABIULAKHIR
Perwatakannya jahat. Hatinya tidak tetap. Fikiran dan kemahuannya lemah, buruk nafsunya, kasar wataknya, mudah mengangkat tangannya. Kehidupannya menjadi sukar kerana tabiat buruknya itu. Ibubapa menempuh kesukaran dalam mendidiknya.

JAMADIL AWAL
Dia mempunyai tingkat keyakinan yang tinggi. Dia berani dan nekad, kadangkala melakukan sesuatu yang bodoh atau bahaya. Walaupun begitu, keberanian dan tekadnya itu akan menunjukkan hasil usahanya, yang menemui kegagalan juga.

JAMADIL AKHIR
Wataknya berani, dia hormatkan orang lain. Berbagai kepandaian ada padanya. Apabila dia tahu bahawa dia salah atau keliru maka dia mudah mengakuinya, tapi bila dia tahu dia benar, pendiriannnya keras dan tidak mahu mengalah. Semasa kecilnya, ibubapanya perlu mendidiknya dengan baik agar terserlah sifat-sifatnya yang baik itu, kerana jika betul didikannya, masa dewasa ia akan menyenangkan kedua orang tuanya.

REJAB
Semasa kecilnya dia degil dan nakal. lbu bapanya patut mendidiknya dengan baik agar dia dapat menerapkan nilai-nilai yang baik. Ketika sudah dewasa, dia suka bersikap merendah diri dan bersikap tidak tahu menahu. Ini agak berlainan dari sikapnya semasa kecil. Walaubagaimanapun hidupnya selamat dan sentosa.

SYA'ABAN
Perwatakannya baik. Hidupnya selamat dan rezekinya tidak putus-putus. Sewaktu kecilnya dia mudah mengalah semasa bermain dengan kawan-kawan. Kelakuannya baik, berbudi bahasa hingga semua orang sayang padanya. Masa dewasanya dia akan berjaya dalam segala kerjayanya danmudah mendapat rezeki.

RAMADHAN
Dia baik, pendiam, suka merendah diri. Dia tidak angkuh kepada teman yang dikenalinya. Dia tidak suka menonjolkan diriya. Kehidupannya selalu selamat.

SYAWAL
Perwatakannya keras. Hatinya keras. Dia tidak suka dikalahkan oleh orang lain. Hal ini membahayakan hidupnya, oleh itu ibu bapanya perlulah mendidiknya dengan betul bagi menghilangkan tabiat buruknya itu. Jika tidak kehidupannya menjadi susah kerana perangai keras hatinya, dan dia selalu bergaduh terutamanya dalam hal mencari rezeki.

ZULKAEDAH
Perwatakannya pendiam. Banyak perkara baik pada dirinya berubah menjadi buruk. Dia banyak berfikir, kerana sifat ini, satu hari nanti dia akan mendapat hasil yang baik dalam kehidupannya. Tetapi oleh kerana banyak berfikir, perbuatannya kadang kala menjadi keliru. Dia seharusnya bertindak tanpa terlalu banyak berfikir untuk mendapat hasil yang yang memuaskan.

ZULHIJJAH
Jika dia jahat dia terlalu jahat, jika baik terlalu baik pula. Dia sering mendapat padah dari perbuatannya sendiri. Dia sukar mengawal perasaannya, kadangkala terlalu berlebih-lebihan atau sebaliknya. 0leh kerana dia tidak dapat memberikan garis pemisah, dia sukar mempertimbangkan baik buruk perbuatannya. Dia seringkali menyesal kerana kurang hati-hati dan kurang pertimbangan