Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Pertamanya, penulis ingin memohon maaf kepada para pembaca kerana sudah sekian lama tidak menulis di ruangan ini. Di benak pemikiran ini begitu banyak ingin diulas dan diterjemahkan, namun kelemahan diri ini dalam mencuri masa amatlah dikesali.
Pada kali ini, penulis ingin mengulas dan berkongsi sesuatu mengenai peristiwa yang dialami penulis sepanjang semester ini yang berkait rapat dengan kehidupan penulis sebagai pelajar, ahli MTM K14, MPP UPM dan rakyat Malaysia.
Sukan Interkolej
Alhamdulillah, pada setiap semester, penulis berpeluang untuk berbakti kepada kolej melalui penglibatan dalam arena yang telah menjadi lumrah daging penulis sejak dahulu lagi. SUKAN. Antara sukan yang diwakili adalah bola sepak, bola keranjang, bola tampar, badminton, larian kampus dan yang terbaru squash.
Walaupun penulis hanya pemain simpanan untuk kebanyakan sukan, namun peluang yang diberikan untuk menunjukkan bakat kurniaanNya digunakan sebaik yang mungkin untuk bermain bersungguh-sungguh bagi mencapai kemenangan dalam setiap pertandingan. Apa yang penting di sini adalah kerjasama berpasukan. Nasihat penulis kepada diri sendiri dan kepada pembaca sekalian, jika tidak diberi peluang untuk bermain, janganlah kita mudah 'kecil hati' sehinggakan mengabaikan semangat berpasukan. Ingatlah bahawa kita tidak akan dapat hidup bersendirian melainkan dengan bantuan orang lain di sisi kita. Jadi, aplikasikanlah di mana-mana walaupun dalam sekecil-kecil bidang yang kita ceburi.
Di kesempatan ini, penulis ingin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan yang memberi peluang kepada penulis untuk sama-sama memartabatkan mutu sukan di Kolej 14. Kenangan berkerjasama dan segala tunjuk ajar amat dihargai. Semoga rangking sukan Kolej 14 akan meningkat dengan peredaraan zaman.
Pencapaian Penulis
Merentas kampus - 215 (kategori lelaki)
Badminton - Separuh akhir
Bola Tampar - Separuh akhir
Squash - Suku Akhir
Bola Keranjang - Suku Akhir
Bola Sepak -Kumpulan je
Pembentangan Draft Projek Tahun Akhir
Alhamdulillah, pada 25/3/09 yang lalu, penulis berjaya membuat pembentangan kertas kerja untuk projek tahun akhir di hadapan pensyarah-pensyarah Fakulti Pertanian. Kertas kerja yang bertajuk, 'Supply Chain Activities in Fish-Based Products in Kuala Terengganu" berjaya disiapkan walaupun penulis mempunyai kekangan masa kerana mengikuti Kem Bina Negara MPP Universiti-Universiti Malaysia di Kem BTN, Besut pada 20-24/3/09. Insyallah, penulis akan menulis pengalaman penulis di sana.
Terima kasih tidak terhingga kepada Dr. Nitty, penyelia projek penulis kerana memberikan input dan tunjuk ajar yang amat berguna untuk menghasilkan draft projek ini. Tidak lupa kepada rakan-rakan yang banyak membantu, berdoa, memberikan nasihat dan panduan kepada penulis untuk pembentangan tersebut.
Selepas pembentangan dilakukan, penulis dihujani dengan soalan-soalan yang mencabar daripada barisan pensyarah. Alhamdulillah, penulis berjaya menjawab persoalan yang diberi walaupun ada juga soalan yang diajukan tidak dapat dijawab dengan baik disebabkan kekurangan ilmu di dada. Penulis juga berpuas hati kerana tidak terdapat sebarang pindaan kepada cadangan draft tersebut. Selepas ini, penulis perlu fokus kepada penghasilan soalan-soalan untuk dimuatkan dalam borang kaji selidik yang akan diedarkan ketika waktu cuti semester nanti. Moga-moga, penulis diberi kekuatan untuk melakukannya.
(sambungan Bahagian 2)
pack sungguh schedule incik PRES kite nih
ReplyDeletemmg serba boleh..congratez!
ReplyDelete