Assalamualaikum dan salam perpaduan...
Maaf dihulurkan kepada para pembaca kerana penulis tidak berkesempatan untuk mencoret sesuatu kebelakangan ini di atas komitmen dan kesukaran untuk login masuk ke dalam blog ini. Pada tulisan kali ini, penulis ingin merakamkan ucapan tahniah dan takziah di atas perlantikan barisan kabinet yang baharu diketuai oleh Y.A.B. Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia keenam. Penulis tertarik dengan slogan baru kepimpinan beliau; “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan"
Sejajar dengan gagasan Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia yang diilhamkan bertujuan untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan berasaskan intipati utama iaitu semangat saling mempercayai dan hormat menghormati antara satu sama lain, penulis berpendapat konsep Satu Malaysia ini dapat memberikan perspektif bahawa kerjasama dan keutuhan dalam membina negara perlu diperkasakan bagi mengharungi cabaran yang mendatang. Tanpa keteguhan perpaduan antara kaum, agenda penyampaian kebajikan rakyat dan merancakkan pembangunan negara tidak mungkin akan terlaksana. Kekukuhan elemen perpaduan sangat penting kerana ia merupakan jaminan kepada keselamatan sosial, politik dan ekonomi.
Dalam erti kata lain, setiap rakyat Malaysia walau dalam kelompok mana sekali pun, tidak akan merasakan mereka terpinggir atau diketepikan dalam arus pembangunan negara. Dengan hakikat itu, Satu Malaysia boleh disimpulkan kepada usaha bagaimana seluruh rakyat Malaysia dapat memperkukuhkan jati diri kenegaraan di sebalik latar belakang etnik, agama dan gender yang berbeza. Justeru, satu asas yang boleh dipegang secara bersama perlu disuburkan di kalangan rakyat pelbagai kaum dalam menterjemahkan apa yang dimahukan menerusi Satu Malaysia. Ia tidak boleh mengelak daripada berpaksikan semangat patriotisme dan nasionalisme yang berteraskan ideologi kenegaraan. Menariknya, gagasan ini juga dilihat mempunyai semangat yang tepat ke arah keseimbangan dan kemurnian antara kaum. Tidak keterlaluan jika disimpulkan semangat gagasan itu bakal membawa negara di bawah era Najib menghampiri Wawasan 2020 seperti mana yang ingin direalisasikan.
Namun demikian, harapan penulis dan seluruh rakyat Malaysia agar barisan kabinet rakyat yang dibentuk dapat menggalas tugas, amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penerapan nilai integriti dan fokus yang tinggi kepada usaha menitikberatkan kebajikan rakyat melalui penilaian (KPI) yang telus dan adil supaya barisan yang dilantik sentiasa berpegang kepada janji mereka.
Dalam era negara mengalami arus kemodenan dan perubahan, penulis melihat bahawa kepentingan generasi muda dalam wadah perjuangan untuk meneruskan kesinambungan kepimpinanan sedia ada. Namun demikian, golongan ini perlu sentiasa disedarkan dan diingatkan sentiasa. Ini kerana nilai budaya dan persefahaman yang telah dibina selama ini tidak akan musnah melalui penularan anasir-anasir jahat yang sentiasa mencari jalan agar masyarakat bercakaran sesama sendiri dan menyebabkan kekuatan masyarakat akan tergugat.
Penulis berharap agar gagasan ini tidak akan hanya menjadi retorik politik sahaja dalam mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kini, rakyat dapat menilainya sendiri tanpa perlu disogokkan dengan umpan yang mampu mengaburi mata. Fikir-fikirkanlah...
No comments:
Post a Comment