SESIAPA saja yang mengalami gangguan emosi akan mudah marah walaupun perkara kecil. Gurauan dan usikan pun boleh mengundang padah jika tidak kena pada masanya. Apatah lagi jika ada mencurah minyak ke atas bara yang masih menyala, tentulah apinya menjulang lebih tinggi. Perasaan marah adalah satu kebiasaan kepada manusia dan ia bukan luar biasa. Maklumlah hidup yang penuh liku menuntut kesabaran dan ketenangan, tetapi jika ia tidak dikendali sebaik-baiknya, kesabaran turut ditelan rasa marah yang memakan diri.
Setiap insan berdepan pelbagai ujian hidup yang kadangkala perit untuk ditanggung. Pancaroba datang dalam pelbagai bentuk, ada kalanya kesusahan, kemiskinan, pengorbanan, kematian, kehilangan, kekayaan, kesenangan dan kemasyhuran. Jika tidak menyedari setiap ujian yang datang itu adalah untuk menguji keimanan seseorang hamba, sudah tentulah kita tidak reda dan pasrah dengan kesulitan itu. Itulah akhirnya yang menyebabkan rasa marah menguasai diri mengatasi yang lain.
Orang beriman juga tahu sifat marah amat dibenci oleh Allah sehinggakan Rasulullah SAW pun berkali-kali menyatakannya dalam sabda Baginda bermaksud: “Dari Abu Hurairah bahawasanya ada seorang lelaki berkata kepada Nabi Muhammad SAW: ‘Berpesanlah kepadaku’, lalu Baginda Rasulullah SAW bersabda: ‘Jangan marah’. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta agar Rasulullah SAW memberinya pesanan, tetapi Baginda masih tetap bersabda: “Jangan marah”. - (Riwayat Al-Bukhari)
Walaupun sifat marah ada dalam diri setiap makhluk, sebaik-baiknya ia dielakkan kerana marah boleh menimbulkan permusuhan dan kemudaratan, bukan saja kepada orang lain malah kepada diri sendiri. Lebih buruk, jika sifat marah menyebabkan kesusahan kepada, masyarakat keseluruhannya dan membiakkan dendam yang tidak berkesudahan.
Ajaran agama supaya sesiapa yang berasa marah mengambil wuduk untuk menenangkan diri perlulah diamalkan setiap masa, malah itulah yang memudahkan huluran maaf, yang akhirnya menyambungkan kembali silaturahim sesama insan.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran, ayat 133-134 yang bermaksud: “Dan segeralah kamu mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa iaitu orang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik”.
Sememangnya perbuatan zalim seperti pembunuhan, rompakan, sumbang mahram dan sebagainya yang dilakukan kepada seseorang boleh menyebabkan kemarahan bukan saja orang yang menjadi mangsa malah orang di sekeliling yang melihat kejahatan itu dilakukan.
Bukan saja yang boleh dilihat dengan mata kasar, ada kalanya kezaliman berbentuk fitnah yang memecahbelahkan umat Islam serta boleh menghancurkan kesucian agama yang dijunjung oleh umat yang masih kuat pegangan akidah dan tauhid. Sudah tentulah keadaan ini menyebabkan rasa marah.
Tetapi seperti dirakamkan dalam al-Quran yang lebih baik adalah memaafkan perbuatan itu, kerana itulah yang kekal dalam pertimbangan Allah terhadap orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji. Jangan pula kejahatan dibalas dengan kezaliman dan fitnah dibalas dengan tohmahan. Dalam syariat juga kemaafan ada ‘merit’ dalam melonggarkan hukuman jika ia diberikan kepada pesalah, seperti Qasas.
Orang yang terdidik untuk mengawal sifat marah boleh menjauhi dengki dan dendam, buruk sangka, berperasaan buruk terhadap orang lain, bertindak mengikut nafsu dan sabar dengan ujian-Nya. Sifat sopan, lemah lembut, berkasih sayang, mesra dan pemaaf seperti diajar Rasulullah perlu menjadi panduan dan ikutan umat Islam kerana ia boleh menjauhi sifat marah yang juga adalah jalan ke syurga.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Dari Abi Ad-Darda ia berkata, wahai Rasulullah SAW, tunjukkanlah saya sesuatu amalan yang boleh menyebabkan saya dapat masuk syurga. Rasulullah SAW bersabda: Jangan marah nescaya engkau akan dapat masuk syurga”. - (Riwayat At-Tabarani)
Ingatan supaya meminimumkan rasa marah dan mudah memaafkan kesilapan dan kesalahan orang lain perlu dihayati pada setiap masa dan ketika, bukan sewaktu kita sedar bahawa kita tidak mampu melawan takdir saja.
Apa juga yang berlaku dalam kehidupan seharian, sama ada membabitkan perasaan dan hak diri sendiri, ahli keluarga atau sahabat handai, perlulah diingat bahawa jika rasa marah yang mengatasi kesabaran, kita jadikan janji Allah dan nasihat Rasulullah SAW sebagai pengubat hati.
Islam menggariskan cara hidup yang harmoni dan aman damai, bersatu padu serta berkasih sayang sepanjang masa, termasuk kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan, bukan saja sesama manusia, justeru, demi memelihara maruah dan prinsip agama, perlulah sentiasa beringat.
Jika marah menyebabkan perpecahan, permusuhan dan menghancurkan silaturahim umat Islam yang juga dimusuhi bukan Islam, buanglah rasa marah itu jauh-jauh walau sukar manapun, supaya kita menjadi umat yang lebih baik.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)
No comments:
Post a Comment