Baru-baru ini, penulis dan seorang rakan, Alia Farhana Jamaludin serta diiringi oleh Prof. Dr. Zainal Abidin Mohamed, Ketua Jabatan Perniagaantani dan Sistem Maklumat, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia telah berpeluang mengikuti Persidangan Pelajar Antarabangsa (International Student Summit, ISS) kali ke 9 di Universiti Pertanian Tokyo (Tokyo University of Agriculture, TUA), Jepun pada 2-11 Oktober 2009. Program ISS merupakan kesinambungan penganjuran program kali pertama iaitu pada tahun 2001 yang bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar dari pelbagai negara berkumpul untuk berbincang dan bertukar idea mengenai masalah dalam pelestarian sumber makanan, pertanian dan penjagaan alam sekitar secara mapan. Tema penganjuran persidangan kali ke 9 ini adalah “Creative Solution Employed by Nations in Response to the Global Food, Energy and Environmental Crisis”.
Setibanya di TUA, penulis ditempatkan di sebuah bilik yang dikongsi bersama dengan peserta dari negara Thailand, Perancis, Brazil dan Mexico. Kepelbagaian yang wujud ini tidak dipersia-siakan oleh penulis untuk berkongsi dengan rakan-rakan baharu tentang keistimewaan negara masing-masing. Jelas sekali, mereka begitu tertarik dengan Malaysia dan keunikan agama Islam.
Menariknya, sepanjang berada di sini, para peserta akan dibantu oleh seorang pelajar daripada TUA yang digelar counterpart. Mereka berperanan untuk membantu para peserta sepanjang 9 hari berada di sana. Sebelum ke Jepun, penulis telah berinteraksi melalui email dan sempat berkenalan secara ringkas dengan counterpart penulis, Takeishi Hiroki. Beliau seorang yang mudah mesra dan mengambil berat tentang kebajikan penulis ketika di sana. Dengan adanya beliau, penulis tidak lagi berhadapan dengan masalah terutamanya dalam pemilihan makanan halal dan penentuan ke setiap venue yang berbeza mengikut atur cara yang ditetapkan. Masalah komunikasi tidak timbul kerana kami berinteraksi dengan menggunakan bahasa Inggeris. Penulis difahamkan di antara objektif diwujudkan counterpart adalah untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar TUA. Malahan, penulis juga berpeluang untuk mempelajari bahasa Jepun dan mengetahui tentang negara Jepun daripada Takeishi sendiri.
TUA merupakan antara universiti yang terawal di Tokyo di mana universiti ini dibina pada tahun 1891. Walaupun keluasannnya tidak setanding UPM, namun kemudahan prasarana dan persekitarannya yang kondusif adalah efektif untuk proses pembelajaran. Penulis juga berkesempatan untuk bertemu dan beramah mesra dengan beberapa pelajar Malaysia yang menyambung pengajian mereka di sana. Uniknya di universiti ini, para pelajarnya mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjaga alam sekitar. Mereka mengasingkan sampah berdasarkan label yang ditetapkan. Malahan, kertas-kertas yang digunakan sepanjang persidangan adalah kertas yang telah dikitar semula. Tahap kesedaran dan disiplin yang dipamerkan oleh pelajarnya begitu mengagumkan penulis.
Persidangan pada tahun ini disertai oleh 21 buah universiti di seluruh dunia. Pihak penganjur telah menyusun atur cara yang rapi sepanjang persidangan berlangsung. Antaranya adalah sesi orientasi kepada peserta, syarahan daripada pensyarah penasihat, sesi perbincangan kumpulan, pembentangan kerta kerja, upacara perasmian dan penutupan. Kami juga diraikan dalam satu majlis khas khusus kepada para peserta dan ahli jawatankuasa pelaksana program yang bertungkus lumus dalam memastikan kejayaan penganjuran persidangan.
Salah satu pengisian utama persidangan ini adalah sesi pembentangan kertas kerja. Sebanyak 34 kertas kerja telah dibentangkan oleh para peserta yang terlibat. Sesi pembentangan kertas kerja ini dibahagikan kepada empat sesi berdasarkan empat isu utama. Sesi pertama adalah berkenaan krisis makanan global, sesi kedua; krisis tenaga global, sesi ketiga; krisis alam sekitar dan sesi terakhir adalah pelestarian global. Penulis telah membentangkan kertas kerja pada sesi pertama bertajuk Critical Extension Factors Affecting Crop Quality, Productivity and Safety in Malaysia manakala Alia membentangkan kertas kerja bertajuk Energy Mix and Alternative Energy for Sustainable Development pada sesi kedua. Berdasarkan pembentangan kertas kerja daripada setiap peserta, penulis dapat simpulkan bahawa terdapat pelbagai kaedah dan cara penyelesaian telah digunakan oleh setiap negara untuk mengatasi isu global yang melanda dunia. Namun, masalah yang dihadapi masih tidak dapat diselesaikan, malahan masalah yang timbul makin parah. Ini adalah kerana inisiatif yang cuba digerakkan tidak dilaksanakan secara kolektif dan keberkesanan setiap usaha yang digerakkan kurang menjernihkan hasil yang diharapkan. Maka, usai sahaja sesi pembentangan kertas kerja oleh para peserta, perbincangan umum (General Discussion) keseluruhan isu-isu yang telah dikupas oleh para peserta telah dijalankan bagi mencari penyelesaian secara konsensus bagi mendepani permasalahan yang dibincangkan dalam konteks tindakan yang dapat dilaksanakan oleh para pelajar. Justeru, para peserta persidangan kali ini telah mencapai kata sepakat untuk terus menuntut ilmu ke peringkat tertinggi dan berkongsi pengetahuan yang diperolehi dengan masyarakat. Para peserta juga disaran untuk menjadi penghubung di antara pemain utama industri terlibat supaya kelestarian alam dapat dipulihara untuk generasi akan datang. Di samping itu juga, penetapan sub-tema pada ISS kali ke 10 juga dibincangkan. Oleh kerana tahun depan merupakan sedekad penganjuran, maka para peserta bersetuju untuk memilih tema “Student Taking Action : Expanding Knowledge Sharing in The Agriculture Energy and Environmental Sectors”.
Peluang untuk berada di negeri orang tidak dilepaskan oleh penulis untuk melawat tempat-tempat bersejarah dan menarik di sana. Biasanya, atur cara program akan tamat pada jam 6 petang. Waktu senggang yang ada digunakan semaksimum mungkin oleh penulis dan Alia untuk mengembara di sekitar Setagaya, Tokyo. Dengan bantuan Takeishi, kami berpeluang ke restoran yang diusahakan oleh imigran Muslim dan menikmati makanan halal (daging lembu dan daging ayam) di sana. Kebiasaanya, penulis hanya menikmati Onegiri dan Sushi, iaitu makanan berasaskan nasi dan makanan laut ketika di sana kerana kesukaran untuk mendapatkan daging halal di sana.
Penulis juga bertuah kerana mempunyai seorang rakan, Norshahrin Razak, yang kini melanjutkan pelajarannya di University of Meiji, Tokyo. Destinasi pertama yang kami lawati adalah Meiji Jingu yang terletak di Shibuya, Tokyo. Meiji Jingu merupakan tempat suci masyarakat Jepun yang dibina untuk memperingati dua orang tokoh berpengaruh di Jepun ketika itu iaitu, Maharaja Meiji dan isterinya, Maharani Shoken. Di samping dapat melihat seni bina Jepun di tempat suci ini, penulis juga dapat mempelajari budaya dan adat resam masyarakat Jepun.
Shahrin juga membawa penulis melawat ke Masjid Jamek Tokyo yang merupakan masjid tertua di Tokyo. Kunjungan pertama kali ke sana begitu mengagumkan penulis kerana masjid ini mempunyai reka bentuk binaan yang indah dan mempunyai persamaan elemen keseniaan binaan masjid di Turki. Alhamdulillah, penulis berkesempatan berkunjung buat kali ke dua bersama Takeishi, Alia dan Prof. Zainal ke sana untuk menunaikan solat Jumaat. Berdasarkan pengamatan penulis, kebanyakan jemaah merupakan imigran luar yang bekerja dan melanjutkan pelajaran di Tokyo. Walaupun agama Islam merupakan agama minoriti di Jepun, penulis difahamkan agama Islam merupakan agama yang sedang berkembang pengaruhnya. Penulis juga berpeluang bertegur sapa dengan rakyat Malaysia yang bekerja di sana.
Setelah enam hari bertungkus lumus memerah idea dan berbincang, para peserta diberi kebebasan pada hari terakhir program untuk melawat sekitar Tokyo (10 Oktober 2009). Justeru itu, kami bertiga (penulis, Alia dan Takeishi) membuat keputusan untuk ke Tokyo Disneyland. Walaupun perjalanan ke sana mengambil masa selama sejam dan harga tiket masuk yang mahal (5,800 yen, RM232) kunjungan kami ke sana memang berbaloi kerana kota keriangan Disneyland memberi kepuasan dan kenangan yang terindah kepada pengunjungnya. Namun, disebabkan taraf hidup rakyat Jepun yang agak tinggi, harga barangan seperti cenderamata di sana dikategorikan agak mahal. Begitu juga dengan barangan lain seperti makanan, barangan pengguna dan perkhidmatan awam.
Suatu yang menarik mengenai sikap orang Jepun ialah budaya pembersih dan berdisiplin yang tersemat di kalangan penduduknya. Sebagai contoh, ketika menaiki escalator, mereka akan berdiri di bahagian kiri dengan bahagian kanan dibiarkan kosong bagi membolehkan mereka yang ingin memotong barisan. Kemudahan awam di sana juga bebas dari berdepan dengan kegiatan vandalisme dan kawasan bandarayanya bersih daripada sampah-sarap. Tidak hairanlah, Tokyo diiktiraf sebagai bandaraya terbersih di dunia. Penulis berpendapat bahawa harga mahal yang dibayar oleh mereka adalah berbaloi dengan apa yang mereka kecapi.
Nota: Penulis merupakan pelajar tahun akhir Bachelor Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia