add us on facebook http://www.facebook.com/pages/Redang-Island-Malaysia/221443514558520

Wednesday, July 29, 2009

H Satu N Satu

Penularan wabak H1N1 telah berlaku di UPM setelah singgah di UiTM dan UUM. Difahamkan setakat ini empat pelajar telah disahkan positif H1N1 iaitu dua pelajar dikenakan tindakan kuarantin di kolej kediaman manakala dua lagi dikuarantin di rumah mereka. Juga difahamkan bahawa jumlah itu mungkin meningkat kerana ujian makmal masih dijalankan terhadap beberapa sampel pelajar yang demam serta mengalami tanda-tanda penyakit itu.

Berkuatkuasa pada hari ini, maka pihak pengurusan universiti telah memberikan arahan supaya sesi akademik ditangguhkan sehingga 4/08/09. Justeru cuti pertengahan semester akan bermula dua minggu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Berdasarkan pengamatan penulis, hampir keseluruhan kolej kediaman telah lengang disebabkan kebanyakan pelajar telah pulang ke rumah masing-masing untuk di"kuarantin"kan @ dalam erti kata lain..."BERCUTI".

Jika turutkan kata hati, penulis juga mahu pulang ke kampung halaman, namun...disebabkan masih terdapat beberapa perkara yang belum diselesaikan maka penulis hanya mampu di"kuarantin"kan di UPM sahaja.

Sunday, July 26, 2009

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah:

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.' "

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"

10. Orang yang sedang makan sahur.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang melawat orang sakit.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

p/s: Semoga kita tergolong dalam golongan yang didoakan oleh malaikat.Insyaallah.

Sumber: Harian Metro

Monday, July 20, 2009

Mahasiswa 1 Malaysia (Siri pertama : 17-19 Julai 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah...bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana segala penat lelah dalam merancang untuk menjayakan program Mahasiswa 1 Malaysia siri pertama iaitu Mahasiswa bersama Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Perasmian Mahasiswa 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan baik.

Penghargaan
Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih kepada barisan Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan ahli jawatankuasa pelaksana kerana menerapkan elemen dan nilai 7K dalam menjayakan program ini. Sekalung penghargaan juga kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan dan tidak dilupakan Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kediaman.



Pengisian Program
Program yang berlangsung pada 17-19 Julai 2009 mempunyai pengisian yang menarik dan seimbang antaranya sesi dialog bersama YB. Menteri Belia dan Sukan, pembentangan kertas kerja, ceramah, perbincangan meja bulat, siaran langsung program bual bicara Generasi Y RTM, pengisisan kerohanian melalui slot ESQ, pameran agensi kerajaan dan aktiviti outdoor games seperti paintball dan wall climbing.



7 Nilai Mahasiswa Satu Malaysia

Universiti adalah cerminan kepada 1 Malaysia. Namun demikian, penulis berpendapat bahawa usaha ini tidak mungkin akan dicapai sekiranya golongan mahasiswa sendiri tidak mempunyai KESUNGGUHAN dan KESEDARAN untuk memahami secara tuntas konsep 1 Malaysia. Jika golongan mahasiswa sendiri belum mempunyai sifat KEIKHLASAN untuk berubah, maka penulis bimbang KESEPADUAN antara kaum tidak dapat dicapai secara kolektif. Natijahnya, KESABARAN dan KETABAHAN dalam mendepani segala cabaran dan rintangan perlulah ditempuhi secara bersama agar masyarakat kampus yang bersatu padu dan harmoni dapat diwujudkan sekaligus dapat melestarikan semangat perpaduan nasional. Kesemua nilai-nilai murni ini perlu diberi penekanan dan ianya tidak akan lengkap sekiranya mahasiswa tidak menghargai nikmat yang diperolehi. Jelas di sini bahawa KESYUKURAN dapat menunjukkan nilai jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.



Harapan
Melalui penganjuran program ini, penulis berharap golongan mahasiswa dapat mendapat input yang berguna mengenai konsep 1 Malaysia melalui pembentangan kertas kerja dan ceramah yang disampaikan. Penulis juga yakin dan percaya para peserta dapat memahami peranan dan cabaran yang perlu ditempuhi oleh mahasiswa dalam bersama-sama menjayakan konsep 1 Malaysia dalam konteks Mahasiswa 1 Malaysia. Justeru, penulis berharap agar mahasiswa dapat menjadi agen dalam menyampaikan hasrat dan merealisasikan tujuan murni agar kefahaman masyarakat dapat dijelaskan dengan sebaik yang mungkin.



Penulis berpendapat bahawa program ini dapat merealisasikan harapan 1 Malaysia di mana seluruh masyarakat mahasiswa boleh memberikan pandangan, mencambah idea dan mengatur strategi berkesan atas nama kepentingan nasional. Kami golongan mahasiswa mahu agenda keintelektualan dijadikan sebagai teras perjuangan. Diharapkan agar pihak kerajaan dapat mengiktiraf dan meraikan suara kami, MAHASISWA 1 MALAYSIA