Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sempena Hari Ibu ini, penulis ingin merakamkan ucapan kepada semua ibu-ibu di Malaysia terutamanya Mama di rumah. Terima kasih atas segala-galanya. Sayang MAMA...=D
Sehari dua ini, penulis berkesempatan untuk menonton Cerekarama TV3 yang berkisar tentang pengorbanan seorang ibu. Penulis tersentuh dengan jalan ceritanya dan berjaya dihidupkan dengan lakonan yang mantap terutamanya cerekarama Demi Masa. Langsung timbul dilubuk hati penulis untuk pulang ke rumah ketika itu juga!!! p/s: x tahu lagi nak balik bile....=(
Pada hari ini anak-anak akan meraikan ibu mereka dengan berbagai cara. Tidak kiralah apa yang anda lakukan untuk ibu anda hari ini walaupun sekadar ucapan ringkas pasti menggembirakan ibu anda. Walaupun begitu perlulah diingat bahawa menghargai ibu bukanlah cukup setakat satu hari sahaja. Sebagai umat Islam, kita wajib mentaati dan menghormati ibubapa kita pada setiap masa. Ini boleh dilihat pada Firman Allah, bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya" (Surah al Ankabut, ayat 8).
Ini diperkuatkan lagi dengan hadis Rasulullah S.A.W di mana dalam sebuah riwayat seorang lelaki datang kepada Rasulullah S.A.W dan bertanya, "Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?" Jawab baginda, "Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu dan selepas itu orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".
Walau di mana atau siapa pun kita, ingatan kepada ibu perlulah sentiasa segar dalam ingatan, tidak kiralah samada mereka masih bersama kita atau sudah tiada. Marilah kita sama-sama fikirkan, kita berada dalam perut ibu selama 9 bulan dan ibu bertarung nyawa semasa melahirkan kita. Jadi layanlah mereka sebaik mungkin dan hargai jasa mereka sepanjang masa. Sentiasalah kita mendoakan ibu kita lebih-lebih lagi jika ibu kita sudah meninggal dunia.
No comments:
Post a Comment