add us on facebook http://www.facebook.com/pages/Redang-Island-Malaysia/221443514558520
Monday, April 20, 2009
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL)
Pada kali ini, penulis ingin berkongsi pengalaman penulis menyertai PBAKL pada hari pertama pembukaannya pada 17 April 2009. Seperti tahun-tahun sebelumnya, penulis tidak melepaskan peluang mengikutinya secara langsung. Walaupun penulis bukanlah seorang pembaca tegar, namun minat membaca tetap tersemat di hati.
Namun, penulis mempunyai beberapa persoalan mengenai tabiat pembacaan di kalangan orang kita. Penulis mendapati terdapat begitu banyak pengunjung di aras 1 PWTC. Apabila penulis melangkah ke aras 2, sambutan pengunjung tidak menggalakan seperti di aras 1. Ini kerana, penulis berpendapat bentuk pameran buku di aras 2 adalah dalam kategori penulisan berat dan berbentuk ilmiah. Penerbit buku yang menguasai aras 2 adalah kebanyakkannya dari luar negara. Jika dilihat paten di aras 1, penulisan dan penerbitan buku adalah keluaran tempatan, lebih santai dan bacaaan ringan.
Persoalan bermain di fikiran, kenapakah situasi ini terjadi?berapa ramai penulis buku ilmiah tempatan berbanding keluaran luar? Adakah rakyat Malaysia membeli dan membacanya? Adakah penerbit tempatan sudi menerbitkan buku?
Hakikat jumlah penulisan buku ilmiah di negara ini masih berkurangan berbanding negara membangun lain. Pernyataan dibuat bekas Timbalan Naib Canselor Kajian Akademik Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Jun tahun lalu yang menyatakan penulis buku ilmiah di Malaysia masih kurang. Tidak ramai penulis akademik dan ini menunjukkan kurang minat kesarjanaan yang tinggi. Katanya lagi, kajian menunjukkan lebih 80 peratus pensyarah menghasilkan sekurang-kurangnya satu penerbitan sepanjang hayat akademik tetapi hanya satu pertiga berhasil menerbitkan penerbitan ilmiah. (Berita Harian)
Penulis tidak menyalahkan para pembaca sekalian kerana penulis juga mempunyai persepsi dan sikap yang sama. Ini terbukti selepas hampir 2 jam meronda-ronda di PWTC, akhirnya penulis mengambil keputusan untuk membeli sebuah novel Semakin aku berfikir Allah Semakin ada karya Lalu Mohamamad Zaenudin dan juga majalah terbaru berkonsepkan kerohanian, SOLUSI. Buku ilmiah???
Kenapa hal ini terjadi? Secara jujurnya, penulis berpendapat kos untuk membeli sebuah buku ilmiah adalah mahal berbanding dengan bacaan ringan. Tidak dapat dinafikan, bayaran yang dikenakan adalah setimpal dengan hasil penulisan yang berkualiti dan bermutu. Namun, apakan daya, penulis masih lagi tidak mampu melakukan pelaburan yang besar untuk tujuan itu. Namun demikian, penulis salute kepada para pembaca di usia penulis yang berani dan sanggup melakukan pelaburan yang besar semata-mata untuk tujuan murni ini.
Mudah-mudahan, penulis diberikan kekuatan untuk melakukkannya suatu hari nanti. Apa yang penting, semangat membaca perlu disemai dalam diri masing-masing waima membaca surat khabar sekali pun. Isu-isu semasa perlu sentiasa diketahui supaya kita tidak menjadi seperti katak yang terkurung di dalam tempurungnya.
Friday, April 17, 2009
Peperiksaan Akhir
Selamat menduduki peperiksaan akhir kepada semua.
Sekadar berkongsi rahsia: USAHA+DOA+TAWAKAL = BERJAYA (Insyaallah)
“Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan"
Assalamualaikum dan salam perpaduan...
Maaf dihulurkan kepada para pembaca kerana penulis tidak berkesempatan untuk mencoret sesuatu kebelakangan ini di atas komitmen dan kesukaran untuk login masuk ke dalam blog ini. Pada tulisan kali ini, penulis ingin merakamkan ucapan tahniah dan takziah di atas perlantikan barisan kabinet yang baharu diketuai oleh Y.A.B. Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia keenam. Penulis tertarik dengan slogan baru kepimpinan beliau; “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan"
Sejajar dengan gagasan Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia yang diilhamkan bertujuan untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan berasaskan intipati utama iaitu semangat saling mempercayai dan hormat menghormati antara satu sama lain, penulis berpendapat konsep Satu Malaysia ini dapat memberikan perspektif bahawa kerjasama dan keutuhan dalam membina negara perlu diperkasakan bagi mengharungi cabaran yang mendatang. Tanpa keteguhan perpaduan antara kaum, agenda penyampaian kebajikan rakyat dan merancakkan pembangunan negara tidak mungkin akan terlaksana. Kekukuhan elemen perpaduan sangat penting kerana ia merupakan jaminan kepada keselamatan sosial, politik dan ekonomi.
Dalam erti kata lain, setiap rakyat Malaysia walau dalam kelompok mana sekali pun, tidak akan merasakan mereka terpinggir atau diketepikan dalam arus pembangunan negara. Dengan hakikat itu, Satu Malaysia boleh disimpulkan kepada usaha bagaimana seluruh rakyat Malaysia dapat memperkukuhkan jati diri kenegaraan di sebalik latar belakang etnik, agama dan gender yang berbeza. Justeru, satu asas yang boleh dipegang secara bersama perlu disuburkan di kalangan rakyat pelbagai kaum dalam menterjemahkan apa yang dimahukan menerusi Satu Malaysia. Ia tidak boleh mengelak daripada berpaksikan semangat patriotisme dan nasionalisme yang berteraskan ideologi kenegaraan. Menariknya, gagasan ini juga dilihat mempunyai semangat yang tepat ke arah keseimbangan dan kemurnian antara kaum. Tidak keterlaluan jika disimpulkan semangat gagasan itu bakal membawa negara di bawah era Najib menghampiri Wawasan 2020 seperti mana yang ingin direalisasikan.
Namun demikian, harapan penulis dan seluruh rakyat Malaysia agar barisan kabinet rakyat yang dibentuk dapat menggalas tugas, amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penerapan nilai integriti dan fokus yang tinggi kepada usaha menitikberatkan kebajikan rakyat melalui penilaian (KPI) yang telus dan adil supaya barisan yang dilantik sentiasa berpegang kepada janji mereka.
Dalam era negara mengalami arus kemodenan dan perubahan, penulis melihat bahawa kepentingan generasi muda dalam wadah perjuangan untuk meneruskan kesinambungan kepimpinanan sedia ada. Namun demikian, golongan ini perlu sentiasa disedarkan dan diingatkan sentiasa. Ini kerana nilai budaya dan persefahaman yang telah dibina selama ini tidak akan musnah melalui penularan anasir-anasir jahat yang sentiasa mencari jalan agar masyarakat bercakaran sesama sendiri dan menyebabkan kekuatan masyarakat akan tergugat.
Penulis berharap agar gagasan ini tidak akan hanya menjadi retorik politik sahaja dalam mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kini, rakyat dapat menilainya sendiri tanpa perlu disogokkan dengan umpan yang mampu mengaburi mata. Fikir-fikirkanlah...