add us on facebook http://www.facebook.com/pages/Redang-Island-Malaysia/221443514558520

Saturday, August 29, 2009

Merdekakah kita?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Beberapa minit lagi, Malaysia akan menyambut kemerdekaan yang ke 52 pada tanggal 31 Ogos 2009. Pada usia yang boleh dikatakan peringkat matang ini, seharusnya nikmat kemerdekaan yang diperolehi dapat diterapkan dalam sanubari setiap rakyat. Erti kemerdekaan yang subjektif dari kaca mata setiap individu perlulah diadun bersama dengan nilai sejarah terdahulu kerana negara Malaysia tidak akan mencapai tahapnya pada masa sekarang jika generasi pasca merdeka menidakkan jasa dan pengorbanan perjuangan generasi masa lalu.



Sambutan kemerdekaan pada tahun ini agak berbeza dengan tahun sebelumnya kerana ia disambut serentak pada bulan Ramadan, bulan yang mulia di sisi Islam. Pengisian kemerdekaan pada kali ini lebih bermakna kerana umat Islam terutamanya menyambutnya dengan menunaikan sembahyang sunat tarawih, witir, bertadarus al-Quran. Alhamdulillah, kali ini tiada lagi konsert hiburan dan persembahan bunga api mewarnai malam kemerdekaan. Sambutan secara sederhana ini diharapkan dapat dikekalkan kerana pengisian kemerdekaan yang sebenar adalah penghayatan semangat bersatu padu di kalangan rakyat dan juga semangat cintakan negara atau patriotisme perlu ditanam di jiwa setiap rakyat.

Ketika ini, kita harus akui bahawa kelemahan untuk menyerapkan erti kemerdekaan itu telah menyebabkan generasi sebaya penulis menjadi leka. Persoalannya, sampai bilakah kita harus membiarkan tanggal 31 Ogos hanya dikenang sebagai hari kemerdekaan sahaja? Bagaimana dengan pengisian kemerdekaan itu sendiri? Apakah kita sudah benar-benar merdeka sedangkan semakin banyak budaya luar kembali menjajah negara ini? Justeru, penulis berpendapat, walaupun kita telah bebas dari segi penjajahan fizikal, namun penjajahan minda masih berleluasa dan menular dalam kehidupan kita. Minda yang dikatakan merdeka adalah minda yang bersih dari segala jajahan kuning baik dari segi ikutan, budaya dan sosialnya. Sepatutnya, nilai-nilai murni dari Barat boleh digarap dalam kehidupan seharian manakala budaya yang tidak seiringan dengan sosiobudaya masyarakat Malaysia perlulah ditolak ke tepi.

Peringatan juga kepada politikus di negara ini. Mereka tidak harus leka berpolitik sehingga kadang kalanya menimbulkan keresahan kepada rakyat jelata. Lebih malang lagi, sikap taksub sesetengah daripada mereka menyebabkan perpaduan rakyat di negara ini sukar untuk dicapai. Malah, yang menyedihkan, di dalam rumpun kaum yang sama pun mereka bertelingkah kerana berbeza fahaman politik. Adalah diharapkan, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini dan kemerdekaan negara ke 52, mereka haruslah 'memerdekakan' diri mereka dari kepentingan peribadi dan dan menghentikan episod malang ini. Semua pihak harus kembali kepada matlamat sebenar kemerdekaan dan mengutamakan kepentingan rakyat demi kemajuan negara bangsa Malaysia.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN
MERDEKA!!! MERDEKA!!! MERDEKA!!!

1 comment:

  1. bt0l3
    merdekakah kita dgn hanya melaungkan 'MERDEKA'??
    tanpa kita sendri sedari kita da mula d jajah semula..
    pikir n renung2kn lah..=>

    ReplyDelete