add us on facebook http://www.facebook.com/pages/Redang-Island-Malaysia/221443514558520

Saturday, May 9, 2009

Selamat Hari Ibu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sempena Hari Ibu ini, penulis ingin merakamkan ucapan kepada semua ibu-ibu di Malaysia terutamanya Mama di rumah. Terima kasih atas segala-galanya. Sayang MAMA...=D

Sehari dua ini, penulis berkesempatan untuk menonton Cerekarama TV3 yang berkisar tentang pengorbanan seorang ibu. Penulis tersentuh dengan jalan ceritanya dan berjaya dihidupkan dengan lakonan yang mantap terutamanya cerekarama Demi Masa. Langsung timbul dilubuk hati penulis untuk pulang ke rumah ketika itu juga!!! p/s: x tahu lagi nak balik bile....=(

Pada hari ini anak-anak akan meraikan ibu mereka dengan berbagai cara. Tidak kiralah apa yang anda lakukan untuk ibu anda hari ini walaupun sekadar ucapan ringkas pasti menggembirakan ibu anda. Walaupun begitu perlulah diingat bahawa menghargai ibu bukanlah cukup setakat satu hari sahaja. Sebagai umat Islam, kita wajib mentaati dan menghormati ibubapa kita pada setiap masa. Ini boleh dilihat pada Firman Allah, bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya" (Surah al Ankabut, ayat 8).

Ini diperkuatkan lagi dengan hadis Rasulullah S.A.W di mana dalam sebuah riwayat seorang lelaki datang kepada Rasulullah S.A.W dan bertanya, "Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?" Jawab baginda, "Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu dan selepas itu orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".

Walau di mana atau siapa pun kita, ingatan kepada ibu perlulah sentiasa segar dalam ingatan, tidak kiralah samada mereka masih bersama kita atau sudah tiada. Marilah kita sama-sama fikirkan, kita berada dalam perut ibu selama 9 bulan dan ibu bertarung nyawa semasa melahirkan kita. Jadi layanlah mereka sebaik mungkin dan hargai jasa mereka sepanjang masa. Sentiasalah kita mendoakan ibu kita lebih-lebih lagi jika ibu kita sudah meninggal dunia.

Monday, May 4, 2009

Jangan berpecah kerana perbezaan fahaman Sunni

sumber : Utusan Malaysia (28/11/2006)




Firman Allah: Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain)…. (al-Hujuraat: 13).

Ayat ini menggalakkan umat Islam bergaul dengan baik dalam hablum minannas.

Kepelbagaian bangsa dan adat resam tidak sepatutnya menjadi penghalang kesatuan umat Islam khususnya di negara kita yang mengamalkan aliran Ahli Sunah Wal Jamaah.

Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Zakaria Stapa memperincikan soal pergaulan sesama manusia khususnya sesama Muslim dalam temubual dengan wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, MOHD. SHAHARANI SAIBI.

UTUSAN MALAYSIA: Apakah maksud aliran akidah Ahli Sunah Wal Jamaah yang diterima pakai secara meluas di negara kita?

ZAKARIA: Akidah itu adalah kepercayaan yang sungguh-sungguh dan diyakini secara tepat di dalam hati, serta diterjemahkan keyakinan tersebut dengan laku perbuatan yang boleh dilihat dengan mata kasar. Ia bersandarkan kepada rukun iman yang enam perkara, didahului dengan kepercayaan kepada Allah. Kita juga hendaklah yakin bahawa Allah itu maha sempurna dalam segala-galanya.

Di rantau Asia Tenggara ini, kita berpegang kepada aliran Ahli Sunah Wal Jamaah. Pegangan rantau ini terhadap aliran ini bermaksud bahawa dari segi tauhid atau teologi (usuluddinnya) kita berpegang kepada akidah yang diasaskan oleh Imam Abu Hasan Al-Ashaari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi.

Dalam segi fikahnya, pegangan utama kita ialah kepada apa yang diutarakan oleh Imam As-Syafie dan aliran al-Syafiiyah. Selain itu, kita juga berpegang kepada tiga lagi imam mazhab Sunni, iaitu Hanafi, Hanbali dan Maliki dalam sesetengah keadaan seperti sistem kewangan Islam dan bayaran zakat fitrah.

Dalam hal akhlak dan tasawuf pula, kita banyak berpandukan kepada Imam al-Ghazali berdasarkan kitab-kitab seperti Manhajul ‘Abidin dan juga Ihya’ Ulumiddin.

Satu hal yang perlu diberi perhatian ialah bahawa perihal akidah ini adalah satu perkara maha penting dan perlu selesai dalam keyakinan dan pegangan setiap individu Muslim. Keraguan mengenainya boleh menyebabkan pegangan kita tidak menentu dan boleh menyebabkan amalan seseorang tidak diterima oleh Allah.

Apa pula maksud fahaman Wahabi yang menjadi pegangan sebilangan umat Islam di Malaysia?

Masyarakat perlulah memahami bahawa fahaman Wahabi ini bukanlah ajaran sesat kerana ia juga termasuk dalam kumpulan aliran Ahli Sunah Wal Jamaah. Ia adalah gerakan yang diasaskan oleh Imam Muhammad Abdul Wahab at-Tamimi (1703-1791M) yang lahir di Uyaynah, utara Riyadh, Arab Saudi.

Imam Muhammad Abdul Wahab adalah ulama yang berpegang kepada aliran Hanabilah (Hanbali) yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Pegangan tauhidnya pula berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. Dalam aspek akhlak dan tasawuf pula aliran Hanabilah banyak berpegang kepada pandangan Imam al-Harawi al-Ansari dan Sheikh ‘Abd al-Qadir al-Jaylani.

Secara umumnya, Imam Muhammad Abdul Wahab muncul ketika pengaruh mazhab Hanbali merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah dan penyelewengan amalan keislaman seperti percaya kepada khurafat dan melakukan amalan bidaah.

Sehubungan itu, beliau melancarkan gerakan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab untuk membersih dan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan hadis. Jadi, dari aspek sejarahnya mereka ini terpaksa mengambil pendekatan yang agak keras dalam usaha mencapai matlamat pembersihan akidah dan amalan keislaman tersebut.

Jika demikian, mengapa fahaman Wahabi ini menolak dan mendakwa sebahagian amalan umat Islam negara kita adalah bidaah (melakukan perkara baru dalam agama yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w, para sahabat dan juga para tabiin)?

Apabila terbawa pengaruh fahaman Wahabi ke rantau kita ini, mereka mahu mendekati amalan yang mereka anggap sebagai bidaah dengan pendekatan yang agak keras. Iaitu mewarisi pendekatan yang terjadi dalam sejarah perkembangan aliran tersebut.

Di samping itu, perlulah juga difahami bahawa pada mereka, amalan bidaah semuanya dalalah (sesat) atau sayyi’ah (buruk). Sedangkan dalam aliran Ahli Sunnah pegangan rantau kita ini, terdapat istilah bidaah hasanah (baik), selain daripada kedua-dua yang disebutkan tadi.

Seorang ulama Indonesia. K. H. Sirajudin Abbas menyenaraikan konsep moden fahaman Wahabi dalam bukunya 40 Soal-Jawab Agama. Antaranya, dalam mempelajari usuluddin (ilmu tauhid) hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah.

Dalam amalan fikah tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah boleh menampal antara satu sama lain. Fahaman ini juga melarang umat Islam mengadakan sambutan hari kebesaran seperti Maulid Nabi, Isra’ Mikraj dan sebagainya serta melarang mengadakan majlis zikir secara berjemaah.

Larangan-larangan tersebut sedikit sebanyak menjejaskan keharmonian umat Islam yang selama ini turun-temurun mengadakan sambutan-sambutan hari kebesaran Islam. Apakah hujah membolehkan sambutan sedemikian mengikut Ahli Sunah?

Bagi kalangan umat Islam di rantau ini yang berpegang kepada Ahli Sunah, apa yang lebih diberi perhatian ialah pengisian dalam majlis sambutan tersebut. Memanglah Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengadakan majlis sambutan hari lahir Baginda.

Namun, pengisian majlis dengan bacaan al-Quran, selawat ke atas Nabi dan mengajak umat Islam memperingati sirah Nabi menyebabkan ulama mengkategorikan ia sebagai bidaah hasanah.

Selain itu, sambutan seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama Muslim yang sama-sama meraikan majlis tersebut. Demikian juga dengan mengadakan tahlil arwah dan bacaan talkin.

Dalam tahlil kita menyebut ayat-ayat Allah selain ada unsur mewujudkan rasa persaudaraan yang utuh. Bab talkin pula, jika ia tidak memberi manfaat kepada si mati ia tetap memberi pengingatan kepada sahabat handai yang mengiringi jenazah di tanah perkuburan.

Apa yang penting dalam hal ini, janganlah disebabkan kita tidak melakukan sesuatu amalan menyebabkan kita mengharamkan ia dilakukan oleh orang lain, kerana ini boleh mengundang perpecahan sesama kita umat Islam.

Musuh-musuh umat Islam akan bertepuk tangan gembira seandainya perpecahan dalam umat Islam terjadi.

Jika demikian, nampaknya ada keperluan bagi pihak berkuasa agama membendung pengembangan fahaman Wahabi ini bagi mengelak perpecahan?

Perkara-perkara begini timbul disebabkan masyarakat umum kurang memahami aliran Ahli Sunah pegangan rantau kita ini, dan juga apa yang dikatakan dengan fahaman Wahabi.

Pertikaian-pertikaian dan tafsiran berbeza dalam hal-hal cabang begini adalah perkara biasa dalam agama dan tidak perlu diperbesar-besarkan. Seandainya ia diperbesarkan tentu sekali boleh menimbulkan perselisihan dan perpecahan dan boleh membantut usaha kerajaan membangunkan umat Islam di negara kita..

Sememangnya pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam di negeri-negeri mengambil langkah sewajarnya untuk menangani hal ini. Ia supaya tidak menjadi asas perpecahan umat Islam di negara kita, sedangkan kita mahu membangunkan kapasiti ummah dalam pelbagai aspek kehidupan seperti dalam bidang ekonomi, sosial dan politik selaras dengan agenda Islam Hadhari yang ditaja oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Agenda besar Islam Hadhari tersebut memerlukan komitmen padu ummah bagi menjayakannya. Umat Islam negara kita sememangnya tidak ada masa untuk bertelagah sesama sendiri sekiranya mereka benar-benar mahu terus maju ke hadapan menjadi peneraju pacuan pembentukan tamadun ummah yang berkualiti. Hal ini sewajibnya difahami oleh setiap individu umat Islam di negara kita.

Tidakkah boleh kedua-dua pihak ini mencari jalan tengah dan mencari titik persamaan demi pembangunan dan kemaslahatan umat?

Memang sewajarnya kita mencari titik persamaan kerana kedua-dua pihak adalah berlandas dan bernaung di bawah payung besar aliran Ahli Sunah. Cuma dalam sesetengah perkara amalan harian mazhab Shafie atau al-Syafiiyah misalnya membuat istinbat hukum berdasarkan pendapat dan pendekatan khusus, sedangkan mazhab yang lain tidak begitu. Maka itu, timbullah perbezaan dalam perkara-perkara cabang amalan harian kita, yang sepatutnya tidak perlu kita perbesarkan.

Dalam perspektif lain, sewajarnya kita sama-sama sedar hakikat betapa rantau Asia Tenggara ini dilihat berpotensi menjadi peneraju kegemilangan Islam masa depan. Kita kelihatannya tidak boleh lagi berharap kepada dunia Arab yang berpecah sesama mereka untuk menjadi peneraju.

Umat Islam di rantau ini mencecah angka kira-kira 250 juta orang. Angka ini cukup besar dan mempunyai potensi mengembalikan semula zaman kegemilangan Islam. Sebab itu kita harus berwaspada dan mengelakkan perpecahan. Mungkin perpecahan itu dirancang oleh pihak-pihak yang tidak mahu melihat umat Islam bersatu.

Mereka menjalankan dakyah secara amat halus termasuk berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang antara lain-lain misalnya berusaha menyamakan semua agama.

Kita harus menyedari hal ini, kerana kedudukan Islam dijelaskan menerusi hadis Rasulullah, adalah agama yang tinggi dan tidak ada agama lain yang lebih tinggi daripadanya.

Sesungguhnya perihal potensi besar umat Islam rantau kita ini perlu disedari dan diberikan perhatian utama oleh kalangan umat Islam. Namun, jika kita mengabaikan potensi ini dan asyik serta tenggelam dalam kancah perkelahian sesama sendiri, ia tentunya akan merugikan umat Islam sendiri.

Kebelakangan ini banyak yang melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan umat Islam menonton drama bersiri Bawang Putih, Bawang Merah yang didakwa mengandungi elemen mengkhayalkan dan karut. Demikian juga ada seorang wanita yang mendakwa sebagai Nabi. Apakah nasihat Prof. dalam hal ini?

Masyarakat Melayu-Muslim kelihatannya memang suka perkara-perkara yang pelik. Cerita-cerita pelik ini pula berkaitan dengan makhluk halus atau makhluk ghaib.

Dalam Islam perkara-perkara ghaib ini memang ada. Ini dijelaskan dalam firman Allah, iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib. (Al-Baqarah: 3). Apa yang utama di sini ialah kita melihat cerita pada batas yang dibenarkan oleh akidah.

Sememangnya hantu dan jin ini mempunyai kudrat tersendiri seperti mana juga kita manusia ada kudrat dalam batas kemanusiaan kita, kerana kita dan makhluk-makhluk berkenaan juga tergolong dalam kalangan makhluk yang diciptakan Allah yang diberikan oleh Allah kudrat dan upaya dalam batas-batas tertentu.

Cuma pegangan akidah kena jelas, walau apa pun bentuk perkara ghaib sama ada pari-pari, jin atau sebagainya, ia hanya berupaya dalam batasnya yang tersendiri dan ia tidak memberi kesan kepada makhluk lain tanpa izin Allah. Jadi, kalau digambarkan dalam filem, hal ini perlu jelas di mana akhirnya unsur-unsur jahat sedemikian mestilah akan tewas supaya ia dibenci dan tidak menjadi pegangan masyarakat.

Mengenai dakwaan orang yang mengaku sebagai nabi, ini jelas karut dan pembohongan besar. Allah menjelaskan melalui firman-Nya,Nabi Muhammad itu adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Rasul. (Al-Ahzaab: 40). Perkara sebegini bukan baru kerana pada zaman selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. pun sudah ada orang yang mengaku sebagai nabi.

Apa yang jelas, tidak ada lagi nabi selepas Rasulullah s.a.w., sebab itulah kalangan para ulama disebut dalam hadis Baginda s.a.w. sebagai pewaris nabi, yang akan terus melanjutkan tradisi kenabian.

Dalam kata lain, selepas Nabi Muhammad s.a.w. tidak akan ada lagi nabi lain, apa yang ada hanyalah kalangan para ulama yang akan meneruskan ajaran-ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Dengan itu masyarakat mestilah memahami secara jelas bahawa sesiapa yang menggelarkan dirinya nabi, maka itu merupakan satu jenayah dan pembohongan yang amat besar terhadap agama Islam yang maha suci.