add us on facebook http://www.facebook.com/pages/Redang-Island-Malaysia/221443514558520

Saturday, August 29, 2009

Merdekakah kita?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Beberapa minit lagi, Malaysia akan menyambut kemerdekaan yang ke 52 pada tanggal 31 Ogos 2009. Pada usia yang boleh dikatakan peringkat matang ini, seharusnya nikmat kemerdekaan yang diperolehi dapat diterapkan dalam sanubari setiap rakyat. Erti kemerdekaan yang subjektif dari kaca mata setiap individu perlulah diadun bersama dengan nilai sejarah terdahulu kerana negara Malaysia tidak akan mencapai tahapnya pada masa sekarang jika generasi pasca merdeka menidakkan jasa dan pengorbanan perjuangan generasi masa lalu.



Sambutan kemerdekaan pada tahun ini agak berbeza dengan tahun sebelumnya kerana ia disambut serentak pada bulan Ramadan, bulan yang mulia di sisi Islam. Pengisian kemerdekaan pada kali ini lebih bermakna kerana umat Islam terutamanya menyambutnya dengan menunaikan sembahyang sunat tarawih, witir, bertadarus al-Quran. Alhamdulillah, kali ini tiada lagi konsert hiburan dan persembahan bunga api mewarnai malam kemerdekaan. Sambutan secara sederhana ini diharapkan dapat dikekalkan kerana pengisian kemerdekaan yang sebenar adalah penghayatan semangat bersatu padu di kalangan rakyat dan juga semangat cintakan negara atau patriotisme perlu ditanam di jiwa setiap rakyat.

Ketika ini, kita harus akui bahawa kelemahan untuk menyerapkan erti kemerdekaan itu telah menyebabkan generasi sebaya penulis menjadi leka. Persoalannya, sampai bilakah kita harus membiarkan tanggal 31 Ogos hanya dikenang sebagai hari kemerdekaan sahaja? Bagaimana dengan pengisian kemerdekaan itu sendiri? Apakah kita sudah benar-benar merdeka sedangkan semakin banyak budaya luar kembali menjajah negara ini? Justeru, penulis berpendapat, walaupun kita telah bebas dari segi penjajahan fizikal, namun penjajahan minda masih berleluasa dan menular dalam kehidupan kita. Minda yang dikatakan merdeka adalah minda yang bersih dari segala jajahan kuning baik dari segi ikutan, budaya dan sosialnya. Sepatutnya, nilai-nilai murni dari Barat boleh digarap dalam kehidupan seharian manakala budaya yang tidak seiringan dengan sosiobudaya masyarakat Malaysia perlulah ditolak ke tepi.

Peringatan juga kepada politikus di negara ini. Mereka tidak harus leka berpolitik sehingga kadang kalanya menimbulkan keresahan kepada rakyat jelata. Lebih malang lagi, sikap taksub sesetengah daripada mereka menyebabkan perpaduan rakyat di negara ini sukar untuk dicapai. Malah, yang menyedihkan, di dalam rumpun kaum yang sama pun mereka bertelingkah kerana berbeza fahaman politik. Adalah diharapkan, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini dan kemerdekaan negara ke 52, mereka haruslah 'memerdekakan' diri mereka dari kepentingan peribadi dan dan menghentikan episod malang ini. Semua pihak harus kembali kepada matlamat sebenar kemerdekaan dan mengutamakan kepentingan rakyat demi kemajuan negara bangsa Malaysia.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN
MERDEKA!!! MERDEKA!!! MERDEKA!!!

Wednesday, August 12, 2009

Persediaan Menyambut Ramadhan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ramadhan al-Mubarak kian mendekati kita. Adakah kita semua hambaNya telah bersedia untuk berhadapan dengan bulan suci ini. Bulan yang penuh keberkatan, limpahan rahmat dan keampunan dari Allah s.w.t. maka tidak hairanlah apabila hampir tibanya bulan Ramadan Rasul Allah s.a.w. dan para sahabat begitu gembira serta tidak sabar menanti ketibaannya. Mudah-mudahan kita juga bergembira dan teras rindu untuk menyambut kehadiran bulan yang mulia ini.

Puasa?
Sebelum kita pergi lebih jauh marilah kita melihat apakah yang dikatakan puasa itu? Puasa merupakan satu rukun daripada rukun Islam yang lima. Puasa bukan sahaja menahan diri daripada tidak makan dan minum disiang hari tatapi hendaklah menepati dan mematuhi segala syarat-syarat dan rukun-rukunnya termasuk perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa. Puasa adalah suatu ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap muslim yang mukalaf dan tiada keuzuran syari', puasa dapat membentuk peribadi seseorang itu benar-benar bertakwa kepada Allah dan hidup dengan semangat yang tinggi bagi membela manusia terutama yang kurang bernasib baik dalam membentuk musyarakat dengan penuh sifat kasih sayang dan tolong menolong. Puasa juga mampu membentuk musyarakat yang mulia dan diredhai Allah s.w.t. Puasa juga adalah merupakan satu pendidikan terhadap jiwa dan mampu mengangkat derjat orang yang mengerjakannya dengan kedudukan yang tinggi dan mulai di sisi Allah. Dengan berpuasa manusia dapat mempelajari satu hikmah iaitu bagaimana untuk memperbaiki sikap atau akhlak daripada sifat suka menurut hawa nafsu seperti hidup tertumpu kepada makan, minum dan memenuhkan perutnya sahaja kepada kehidupan yang sebenar yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Nafsu vs Iman
Justeru, sebagai manusia kita begitu susah untuk memiliki sifat sabar dan kita sentiasa terdorong di bawah runtunan hawa nafsu. Maka, dengan berpuasa jika ia berjaya dilaksanakan ia mampu memupuk kesabaran dan memberikan kekuatan untuk melawan segala kehendak hawa nafsu, sekaligus ia akan mendidik manusia membiasakan diri dengan mengahadapi perbagai-bagai kesusahan serta teguh menghadapi rintangan bagi menuju kepada kesempurnaan dan kemuliaan dalam kehidupan seharian, itulah hikmah yang tersembunyi di sebalik ibadah puasa.

Seorang yang menjalani ibadat puasa, apakah rahsia yang tersembunyi di dalam dirinya yang dapat menghalang ia daripada makan dan minum, kalaulah tidak kerana keimanannya kepada Allah ?Apakah benteng yang menghalangnya daripada melakukan maksiat, kalau tidak ada keimanannya kepada Allah? Justeru, keimanan seseorang muslim yang mendalam terhadap Allah itulah yang menjadikan dia patuh kepada segala perintah Allah, setiap yang disuruh dikerjakannya dan apa yang dilarang ditinggalkannya. Begitu juga, seseorang akan segera bertaubat, menyesal dan kembali kepada Allah sekiranya melakukan sesuatu larangan yang ditegah oleh Allah. Lantaran itulah keimanan menjadikan kita penuh ikhlas dan suci hati mengerjakan ibadah puasa yang difardhukan. Puasa juga membersihkan jiwa daripada terlampau mengejar dunia dan bermati-matian bertungkus lumus mencari keseronokan hidup.

Dengan ini, perasaan cintakan kebendaan tidak berjaya mencengkam ke atas perjalanan hidup manusia sehingga terciptalah satu corak kehidupan yang dipenuhi dengan berbagai kelebihan dan keperibadian yang tinggi, pelbagai hikmat dan fadhilat dapat diperolehi dari berpuasa, antara fadhilat-fadhilat yang terdapat dalam ibadat puasa telah ditegaskan oleh Allah s.w.t. didalam surah al-Ankabut ayat 58 :

اعوذبالله من الشيطان الرجيم،
Yang bermaksud : " Dan orang-orang yang beriman serta beramal Soleh, kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh ".

Dan Hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :

"الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانِ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ."
Maksudnya : " Solat lima waktu yang didirikan satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar ".

( H.R. Muslim )

Hikmah Puasa
Dalam menjalani ibadah puasa, kita akan dapat merasai hikmah yang indah dan faedah yang besar seterusnya kita akan bersyukur kepada Allah yang memfardukan puasa ke atas kaum muslimim. Dengan kita mentaati segala syarat-syaratnya dan menunaikannya dengan sebaik-baik yang dikehendaki, akan jadilah kita seorang muslim yang bertakwa kepada Allah sepertimana Sabda Rasulullah s.a.w. :

"اَلصِّيَامُ جُنَّةٌ مَالَمْ يَخْرِقْهَا بِكَذِبٍ اَوْ بِنَمِيْمَةٍ."
Maksudnya : " Puasa itu adalah perisai selama ia tidak dirosakkan dengan sebab berbohong atau mengumpat ".

Dan dalam Hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda :

"لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفْثِ."
Bermaksud : " Bukanlah berpuasa itu menahan diri daripada makan dan minum sahaja, akan tatapi berpuasa itu juga menahan diri daripada berkata-kata dengan perkataan-perlataan yang kotor dan kata-kata kesat ".

Di sini jelaslah kepada kita bahawa puasa itu merupakan satu perisai yang akan melindungi dari kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri dari terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar, tolong menolong dan simpati di antara satu sama lain, puasa juga akan menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah.

Persediaan Ramadhan
Kebanyakan kita telah mengetahui bahawa mengikut ilmu Psikologi setiap orang yang dilahirkan ke alam dunia ini mempunyai beberapa kehendak dan naluri. Justeru, naluri-naluri tersebut perlukan kepada bimbingan dan didikan supaya ia menjadi subur dan berkembang mengikut kehendak yang ditetapkan oleh syariat Islam. Dalam perkara seperti ini langkah yang paling berkesan ialah dengan berpuasa. Dimana dengan berpuasa mengajar manusia supaya makan sekadar yang patut sahaja dan menahan nafsu dari segala keinginan yang bertentangan dengan syariat agama. Selain dari itu seseorang yang berpuasa boleh mencapai puasa yang istimewa dengan enam syarat. Maka sempena kita akan menyambut Ramadan beberapa hari lagi, marilah kita berazam melaksanakannya dengan persediaan berikut :

1. Hendaklah menjaga mata daripada memandang perkara-perkara yang dicela oleh agama yang mana akan melalaikan hati serta jauh dari mengingati Allah.

2. Hendaklah memelihara lidah dari berbohong, bercakap dusta, bermusuh-musuhan dan membangga-bangga diri.

3. Hendaklah menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara yang tidak baik dan haram, kerana Allah menyamakan mendengar perkara yang haram itu seperti memakan yang haram.

4. Menghindarkan anggota badan yang lain dari berbuat dosa dan perkara-perkara yang dilarang.

5. Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka sampai penuh perutnya.

6. Hendaklah hati kita itu merasa goncang antara harap dan cemas setelah selesai berbuka sebab kita tidak tahu apakah puasa kita itu diterima oleh Allah atau ditolak.

Oleh yang demikian marilah kita meraikan bulan puasa yang mulia yang bakal tiba dengan penuh perasaan gembira dan marilah kita gunakan peluang keemasan yang diberi Allah untuk mengerjakan amal kebajikan dan menjauhkan segala amalan yang dimurkai Allah. Hanya orang yang berpuasa sahajalah akan meresap ke dalam jiwanya sifat-sifat yang luhur dan bersikap sederhana dalam segala tindak tanduk serta tidak melampaui batas. Orang yang berjaya dididik oleh puasa akan bertambah rajin dan berperibadi mulia, sehat, berdisiplin, cekap lagi beramanah, bertakwa kepada Allah suka berjuang untuk agama, musyarakat dan negara.

اعوذبالله من الشيطان الرجيم،
Maksudnya : "( Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah ) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan antara yang benar dan salah. Olah itu, setiap yang diantara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. Dan sesiapa yang sakit atau musafir maka bolehkah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dengan ketetapan yang demikian itu Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuknya dan supaya kamu bersyukur"
( Surah al-Baqarah ayat : 185 )

sumber : JAKIM

Monday, August 3, 2009

Al-Fatihah

al fatihah buat nenek....Esah Ismail...yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini 4 Ogos 2009.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan solihin.


Allayarhamah nenek (berbaju oren)

Penulis akan balik ke Kuala Berang, Terengganu untuk menziarah buat kali terakhir. Doakan selamat pergi dan kembali.